MALAYSIA
Umat Islam seluruh negara sambut ketibaan tahun baharu 1447 Hijrah dengan doa, bermunajat

Umat Islam di Malaysia menyambut ketibaan tahun baharu 1447 Hijrah dengan penuh penghayatan dan keinsafan menerusi Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun yang diadakan di masjid serta surau di seluruh negara malam ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia menyambut ketibaan tahun baharu 1447 Hijrah dengan penuh penghayatan dan keinsafan menerusi Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun yang diadakan di masjid serta surau di seluruh negara malam ini.
Ringkasan AI
- Umat Islam seluruh negara menyambut Maal Hijrah 1447H dengan bacaan doa akhir dan awal tahun, Yasin, munajat dan zikir di masjid serta surau.
- Sambutan turut dihadiri pemimpin negara dan negeri termasuk Sultan, Menteri Besar serta tokoh agama, dengan beberapa majlis menyampaikan anugerah penghargaan.
- Perhimpunan dan majlis khas diadakan di negeri-negeri seperti Perak, Sarawak, Melaka, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan dengan pengisian rohani dan tazkirah.
Di KUALA LUMPUR, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee bersama hampir 1,000 jemaah menyertai majlis itu di Masjid Negara yang dipimpin Imam Besar masjid berkenaan Ehsan Mohd Hosni.
Di SARAWAK, majlis itu yang berlangsung di Masjid Assyakirin, Bintulu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta beberapa barisan pemimpin negeri.
Antara pengisian program ialah bacaan Yasin dan tahlil ke atas isteri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg iaitu Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang yang meninggal dunia Isnin lepas, dengan diketuai Imam Besar Sarawak Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.
Turut diadakan tazkirah khas bertajuk 'Hijrah: Ummah Maju Makmur' yang disampaikan oleh Mufti Sarawak Datuk Kipli Yassin.
Perhimpunan Maal Hijrah 1447H/2025M Peringkat Sarawak bakal berlangsung di Dewan Suarah Bintulu, esok.
Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke Majlis Kemuncak Sambutan Maal Hijrah 1447H Peringkat Negeri Perak di Ipoh dengan disertai kira-kira 1,000 hadirin.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan hadiah kepada penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah negeri Perak bagi tahun ini selain Anugerah Saidina Ali (Tokoh Belia), Anugerah Siti Khadijah (Tokoh Wanita) dan Anugerah Ikon Asnaf, Anugerah Al-Quba (Pengurusan Masjid Terbaik), Anugerah Al-Baqi' (Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Terbaik) serta Anugerah Khas.
Di SELANGOR, sambutan Maal Hijrah yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Di MELAKA, lebih 3,000 hadirin menyertai sambutan Maal Hijrah peringkat negeri yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusof di Masjid Al-Hakeem Kampung Tehel, Bemban.
Di KEDAH, Sultan Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah diiringi Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Salehuddin berkenan berangkat menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Doa Sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di Masjid Zahir, Alor Setar.
Sementara itu, di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Masjid Negeri, Seremban.
Seramai 300 jemaah menghadiri majlis sambutan itu dan majlis bacaan doa akhir tahun dipimpin oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami