UMNO tidak harus dilihat sebuah parti eksklusif atau hanya menguatkan mana-mana individu dan pihak di dalam organisasi itu sendiri.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kekuatan parti sebaliknya disifatkan terletak di atas dasar sokongan akar umbi sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak.

"Sudah sampai masa dan ketika UMNO diperkasakan sebagai sebuah parti yang memberi perlindungan dan payung kepada bangsa Melayu, bumiputera, agama Islam dan juga negara yang kita cintai ini.

"Ini penting bagi kita supaya parti keramat yang menjangkau usia 69 tahun ini akan terus mendapat tempat dan sokongan dari akar umbi, khususnya golongan muda yang menjadi pelapis kepada barisan pimpinan pada masa ini.

"Parti UMNO ini tidak harus dilihat sebagai eksklusif ataupun hanya untuk menguatkan mana-mana individu, sebaliknya kekuatan parti UMNO ini terletak atas dasar sokongan akar umbi," katanya dalam satu kenyataan sempena ulang tahun UMNO ke-69 di sini hari ini.

BACA: Imej UMNO tidak boleh terpalit dengan isu 1MDB: Muhyiddin

BACA: Warga UMNO perlu bangkit demi masa depan parti: Hishammuddin


BACA: UMNO Perlis mahu tindakan drastik dilaksana, termasuk ganti pemimpin kerajaan

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyifatkan rakyat akan memberi sokongan padu kepada UMNO jika parti tidak terpalit dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain mempunyai pemimpin yang amanah dalam melaksanakan tanggungjawab serta bersih daripada sebarang bentuk salah laku dan penyelewengan.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, rakyat juga dilihat akan menolak parti daripada terus menjadi kerajaan kepada rakyat yang berbilang kaum dan agama jika mendapati pemimpin mereka tidak amanah dalam pentadbiran.

Dalam pada itu kata Mohd Shafie keyakinan rakyat harus segera dikembalikan bagi memastikan UMNO terus relevan dan sebagai persediaan menghadapi PRU ke-14 kelak.

Sebelum ini, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta anggota UMNO untuk bangkit, bekerja keras, bersatu, mengenepikan segala kepentingan sempit serta peribadi dalam menghadapi ujian besar yang dihadapi kini.

Jelasnya, anggota UMNO tidak boleh sekadar berpeluk tubuh, jika tidak parti itu hanya akan menjadi seperti parti lain.