UMNO Kedah bertekad meraih majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) walaupun sedar pembangkang turut berhasrat menawan kembali negeri berkenaan.

Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata fokus utama dalam merealisasikan matlamat itu adalah menerusi muafakat dalam parti serta memperkemas jentera pilihan raya.

"Kita memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 10 kerusi Parlimen semasa PRU lalu, dan kita berjanji untuk menghadiahkan kemenangan dua pertiga pada PRU14 akan datang.

"Bagaimanapun usaha meraih kemenangan memerlukan kerjasama semua pemimpin dan anggota UMNO termasuklah sayap Wanita, Pemuda dan Puteri," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen UMNO Kedah 2016 di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata UMNO berdepan cabaran besar, termasuk dengan wujudnya gerakan anti kerajaan yang turut didalangi bekas pemimpin parti berkenaan, yang mahu melumpuhkan sistem demokrasi negara.

"Pembangkang pernah mentadbir Kedah, mereka mengidam untuk merampas kembali Kedah, dan UMNO berdepan dengan musuh yang tahu selok-belok dalaman parti sebab mereka daripada serpihan UMNO.

"Sebab itu, kita perlu memperkemas jentera parti, ada bahagian perlu dikemaskini antaranya Jerai, Kulim Bandar Baharu, Pendang dan Sik yang menang majoriti tipis. Kawasan Jerlun, Padang Terap dan Baling dengan majoriti lebih 3,000 undi juga perlu diberi perhatian," katanya.

Sementara itu, pada sidang media selepas merasmikan majlis berkenaan, Ahmad Bashah berkata konvensyen kali ini menjadi wadah untuk pemimpin meneliti satu persatu penambahbaikan perlu dibuat bagi menghadapi PRU akan datang.

"Soal pemilihan dalam parti, kita tolak ke tepi dahulu, sekarang matlamat dan tumpuan kita PRU14 dengan agenda mengekalkan kerajaan yang mentadbir negeri dan negara ketika ini.

"Selain mahu mempertahankan kemenangan pada PRU13, kita juga mahu menawan Parlimen Alor Setar dan Pokok Sena," katanya.

Di Kedah terdapat 45 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen. - BERNAMA