Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta para anggota parti itu terus memperkuatkan parti dan mempertahankannya ketika usaha dilakukan untuk menyelesaikan isu 1MDB menjelang akhir tahun ini.

Mereka harus menyerahkan tanpa ragu kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menyiasat dan menyelesaikan isu itu.

"Tunggulah hujung tahun tapi...sambil itu kita nak keluarga UMNO kita kuat, berani bangkit berdepan dengan sesiapa sahaja.

"Isu 1MDB kita akan selesaikan secara telus. Ini cara kita dalam UMNO," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Permatang Pauh di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah memberi jaminan bahawa mana-mana pihak yang melakukan penyelewengan atau salah laku di dalam 1MDB tidak akan terkecuali daripada undang-undang.

Hishammuddin turut mengingatkan rakyat di negara ini supaya mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa rakyat di negara-negara Timur Tengah berikutan ketidakstabilan geopolitik di negara mereka.

Rakyat Malaysia katanya perlu menjadikan pergolakan yang berlaku di negara-negara itu sebagai pengajaran supaya perkara sama tidak berlaku di negara ini.

"Sekarang memang ada usaha untuk suntik elemen sedemikian di negara kita. Justeru, rakyat perlu lebih peka dan jangan hanya menerima sesuatu perkara itu tanpa mendapat pengesahan mengenainya.

"Kita perlu ingat bahawa walaupun kerajaan mereka sudah bertukar, namun masalah yang dihadapi di negara berkenaan masih tidak dapat diselesaikan," katanya.

Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said dan barisan kepimpinan UMNO Bahagian Permatang Pauh.