Pentas Perhimpunan Agung UMNO 2016 hujung bulan ini wajar dijadikan platform bagi parti itu menonjolkan kemampuannya untuk terus menjadi wadah politik bagi rakyat, khususnya orang Melayu.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata UMNO perlu memperlihatkan ia masih relevan walaupun berdepan pelbagai isu yang menjejaskan kredibiliti dan imej parti itu.

Katanya bagi mencapai matlamat itu, UMNO harus menunjukkan ia masih mampu menyediakan agenda masa depan negara, mendengar denyut nadi serta bersedia mengisi aspirasi rakyat.

"Dalam PAU (perhimpunan agung) nanti UMNO mesti berani dan yakin sebut bahawa tiada parti lain boleh jamin kestabilan, keamanan dan perpaduan masyarakat yang telah kita bina sejak merdeka sebaik dan seupaya UMNO lakukan.

"Walaupun telah diuji dengan pelbagai ujian, UMNO mestilah diperlihatkan berupaya mengemudi bahtera untuk sampai ke destinasi walaupun lautan bergelora dan dilanda gelombang," katanya kepada Bernama.

Jelas Mohamed, perhimpunan agung kali ini juga mestilah berupaya menyuntik semangat dan keyakinan anggota UMNO untuk memulakan gerak kerja sepenuhnya selain memperkukuh perpaduan dan semangat anggota khusus untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"UMNO mungkin berhadapan dengan pembangkang yang lebih kuat berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kerana mereka mungkin mempunyai banyak isu baharu yang akan digunakan untuk serang UMNO dan kerajaan," katanya.

Sehubungan itu beliau berkata para perwakilan perlu lebih berani menyuarakan isu-isu penting seperti masa depan negara melalui pendidikan, keupayaan kerajaan memacu ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta isu berkaitan kos sara hidup.

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata perhimpunan agung tahunan itu perlu dimanfaatkan sebaiknya sebagai platform untuk merapatkan semula barisan dalam parti.

Jelasnya, pada masa inilah para perwakilan boleh menyuarakan sebarang ketidakpuasan hati terhadap pucuk pimpinan, sekali gus menyelesaikannya secara profesional.

"Para perwakilan dan ahli boleh merungkai sebarang permasalahan dan merapatkan barisan untuk bersedia menghadapi PRU dan membatasi unsur sabotaj dalam parti khususnya ketika PRU nanti," katanya.

Di SUNGAI PETANI, bekas Menteri Besar Kedah yang juga Naib Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Osman Aroff berkata UMNO perlu mengkaji semula kedudukan parti, merapatkan perpaduan dalam parti serta cuba meraih sokongan orang Melayu sepenuhnya.

Antara ketiga-tiga agenda itu, perpaduan dalam UMNO seharusnya dijadikan fokus utama dalam PAU yang akan berlangsung hujung bulan ini.

"Persidangan kali ini amat penting bagi UMNO sebab dalam keadaan suasana sekarang ini, ia dapat mewujudkan perpaduan dalam kalangan ahli-ahli UMNO," katanya.

Bercakap kepada Bernama di sini, veteran UMNO itu berkata suasana begitu mencabar sekali ketika ini dan UMNO perlu mengambil sikap positif untuk menghadapi setiap cabaran yang mendatang.

"Kita sedih dengan keadaan UMNO. UMNO sudah sampai pada satu tahap atau keadaan yang begitu membimbangkan, sebab itu kita perlu menyatupadukan kembali orang Melayu yang kini semakin jauh daripada UMNO," katanya.

"Bahkan pemimpin-pemimpin UMNO juga mesti bersatu-padu, tidak boleh ada prasangka sesama sendiri, perpaduan itu penting kerana jika tiada perpaduan, tiada apa yang boleh kita lakukan," katanya.

Osman berkata cabaran lebih besar menanti parti keramat itu apabila ramai pemimpin yang dahulunya berjuang bersama UMNO kini meninggalkannya dan berkempen menentang parti yang banyak berjasa kepada mereka.

"Ini memerlukan kita menyusun semula kekuatan dan perpaduan, kita tidak boleh pandang ringan mengenainya...pergolakan politik hari ini adalah berbeza," katanya.

-- BERNAMA