REMBAU:UMNO menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO juga akan terus mengekalkan 55 kerusi yang dimenangi pada PRU yang lalu.

Beliau berkata, secara dasarnya parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) bersetuju dengan keputusan berkenaan dalam memastikan kemenangan parti itu untuk menubuhkan kerajaan dan bukan hanya ‘menang’ kerusi untuk bermegah-megah.

“Kita dalam PRU ke-15, ini adalah pilihan raya yang kita mahu menang, kita mesti menang, untuk kita tubuhkan kerajaan, bukannya kerusi di mana kita bermegah, kau dapat 70 kerusi bertanding, tetapi satu pun tidak menang.

“Itu tidak guna juga, kita mesti teliti setiap kerusi tersebut, geopolitiknya bagaimana, kehendak kita pula bagaimana, setiap lokaliti kita kaji macam mana, apa kualiti dan apa sebab parlimen kalah tapi dua DUN menang,” ujar Mohamad.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai banyak bahagian UMNO yang menolak bekerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15, tegasnya parti itu perlu membina kekuatannya sendiri.

Bagaimanapun, kerjasama dengan parti berkenaan tidak sewajarnya ditolak.

BACA: PRU15: Tidak wajar pertikai pembahagian kerusi - Annuar Musa 


Susah lah semua orang mahu bercakap - Annuar Musa

Sementara itu, mengulas kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, yang berpendapat UMNO tidak boleh bergerak secara solo, Mohamad menegaskan parti itu mempunyai kekuatan tersendiri.

Ujarnya, BN secara amnya sebelum ini mencipta kegemilangan dengan bergerak sendirian tanpa sokongan parti lain.

Bagaimanapun kekalahan pada PRU lalu hanyalah disebabkan oleh kesilapan yang boleh dibaiki dengan semangat kerjasama dan pemerkasaan parti dari akar umbi sendiri.

Terdahulu, Annuar pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh semalam menegaskan UMNO tidak boleh 'bersendirian' dalam arena politik sekiranya ingin memperoleh kejayaan dalam PRU15, kerana bergerak secara solo bukanlah satu formula kemenangan kepada parti itu.

BACA: UMNO jangan pilih jalan merugikan, ulang kesilapan lampau - Hishammuddin

BACA: 'Nafi beli, curi ahli UMNO', kenyataan tak cerdik - Nazri Aziz 


UMNO Padang Rengas: Tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15