KUALA LUMPUR: Semalam mencuri perhatian kerana dipanggil ‘Uncle Anwar’, hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan jemputan seorang murid Taska As Sakeenah ke Hari Usahawan Cilik tidak dibiarkan begitu sahaja.
Meskipun berada di Brunei Darussalam mengetuai delegasi negara, Anwar menghantar pegawainya, Raimi Ab Rahim sebagai wakil bagi menyampaikan sumbangan dan salam kepada anak-anak yang menyertai program di Subang Jaya itu.
“Tidak mahu hampakan anak-anak, ‘Uncle Anwar’ hantar pegawai, saudara Raimi Ab Rahim untuk mewakili bagi sampaikan sedikit sumbangan dan salam mesra kepada semua,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Anwar turut berharap Hari Usahawan Cilik itu dapat memberi pengalaman bermakna, selain menyemai minat berniaga dalam kalangan kanak-kanak sejak usia kecil.
Tidak ketinggalan, Perdana Menteri sempat menitipkan pesanan bersahaja kepada ‘usahawan-usahawan cilik’ berkenaan.
“Kalau dapat untung, jangan lupa menabung,” katanya.
Semalam, gelagat seorang murid Al Sakeenah Learning Centre menarik perhatian selepas cuba mengundang sendiri Perdana Menteri ke program berkenaan dengan memanggilnya ‘Uncle Anwar’.
Kisah itu dikongsikan seorang guru menerusi akaun Threads @aqilkmzmn yang memaklumkan murid berkenaan bertanya sama ada Anwar boleh dijemput ke Hari Usahawan Cilik.
“Pada minggu lepas, salah seorang daripada murid saya tanya boleh ke ajak PMX datang Hari Usahawan Cilik.
“Kita pun cakap kalau awak berjaya buat PMX datang, abi bagi awak 100 markah on ClassDojo (sebagai penghargaan). Tudiaa dia pi Unclekan je PMX,” kata pemilik akaun threads tersebut.
Jemputan itu kemudian mendapat perhatian Anwar yang membalas bahawa beliau teringin untuk hadir, namun terpaksa berada di Brunei atas urusan rasmi.
“Wassalam. Teringin nak pergi, tapi maaf hari Sabtu saya di Brunei. Saya doakan Hari Kantin taska berjalan lancar.
“Jangan beli jajan banyak sangat,” balas Anwar secara bersahaja pada semalam.
Anwar turut mendoakan anak-anak berkenaan membesar menjadi insan yang rajin berusaha, membantu keluarga dan memberi manfaat kepada masyarakat.