NEW YORK: Undang-undang antarabangsa tidak boleh dijadikan “menu pilihan” yang hanya diguna pakai apabila menguntungkan.
Jika sistem itu mahu terus bertahan, pelanggaran undang-undang tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman dan kebertanggungjawaban mesti ditegakkan.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan mesej tegas itu ketika berucap pada Mesyuarat Tergempar Menteri-Menteri Kumpulan The Hague bagi Mempertahankan Undang-Undang Antarabangsa di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini pada Jumaat.
Mohamad turut menegaskan bahawa mempertahankan undang-undang antarabangsa bukan soal memilih pihak.
“Ia adalah mengenai mempertahankan aturan berasaskan peraturan, yang memastikan tiada negara mengatasi undang-undang dan hak rakyat tidak tertakluk kepada kepentingan politik,” kata beliau.
Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB (UNGA).
“Kita bertemu ketika aturan perundangan antarabangsa berdepan antara ujian paling getir.
“Di Gaza dan seluruh Wilayah Palestin yang Diduduki, kita terus menyaksikan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, penderitaan manusia yang amat besar serta penafian sistematik terhadap hak asasi manusia,” katanya.
Namun, beliau berkata meskipun terdapat keputusan mahkamah yang mengikat, resolusi PBB dan kewajipan undang-undang yang jelas, rejim Zionis terus melakukan kekejamannya tanpa dikenakan hukuman.
“Kita tidak boleh membiarkan pencabulan ini dan keruntuhan norma antarabangsa menjadi perkara biasa.
“Kredibiliti undang-undang antarabangsa bukan sahaja bergantung pada kewujudan peraturan, tetapi juga kesediaan bersama kita untuk menegakkan dan menguatkuasakannya,” kata menteri itu.
Mohamad berkata isu Palestin kekal menjadi ujian terhadap komitmen masyarakat antarabangsa kepada kedaulatan undang-undang.
“Ia menguji satu premis asas: sama ada undang-undang antarabangsa terpakai secara sejagat kepada semua negara, atau tunduk kepada kehendak mereka yang percaya bahawa kekuatan menentukan kebenaran,” katanya.
Beliau berkata Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai 2024 jelas menetapkan kewajipan negara-negara berhubung kehadiran Israel yang tidak sah di Wilayah Palestin yang Diduduki, yang turut ditegaskan oleh Perhimpunan Agung PBB.
Mohamad berpendapat tidak perlu diwujudkan kerangka perundangan baharu, sebaliknya kerangka sedia ada perlu dikuatkuasakan, dan di sinilah Kumpulan The Hague mempunyai peranan penting.
“Tugas kita adalah memperkukuh tindakan bersama dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa -- dengan meningkatkan penyelarasan, berkongsi mekanisme, menyokong badan penguatkuasaan antarabangsa serta mengenal pasti langkah yang boleh diambil kerajaan dalam sistem perundangan domestik masing-masing,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha kumpulan itu perlu memperkukuh sistem PBB serta membantu negara-negara melaksanakan komitmen yang telah dibuat.
Bagi rakyat Palestin, Mohamad berkata ini bermakna mempertahankan hak mereka yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri, serta menyokong pembentukan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.
Beliau berkata Malaysia menyertai Kumpulan The Hague atas rasa tanggungjawab yang menuntut tindakan bersama dan konsisten berteraskan undang-undang antarabangsa, sambil menambah bahawa kumpulan itu menyediakan kerangka untuk menterjemahkan kewajipan kepada langkah dan tindakan konkrit.
“Usaha kita seharusnya memperkukuh, bukannya melemahkan sistem multilateral. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kekal sebagai tonggak yang menjadi saluran masyarakat antarabangsa bertindak,” kata beliau.
Mohamad menegaskan apabila sistem itu dilemahkan akibat ketiadaan tindakan atau kebuntuan politik, negara-negara perlu berusaha memperkukuh asasnya melalui tindakan yang berprinsip dan mematuhi undang-undang.
Beliau menggesa anggota Kumpulan The Hague memanfaatkan platform itu untuk beralih “daripada kecaman kepada pelaksanaan, daripada kenyataan berasingan kepada strategi bersama, dan daripada retorik kepada tindakan yang memberi impak.”
“Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua anggota kumpulan ini dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa.
“Marilah kita bertindak bersama-sama, dengan teguh, segera dan penuh tekad, untuk menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang,” kata beliau.
-- BERNAMA