KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyegerakan pelaksanaan Undi18 menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15  (PRU15) bagi memberikan ruang kepada golongan belia menunaikan tanggungjawab mereka seperti dipersetujui Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Exco Undang-Undang Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Fared Mohd Khalid menyifatkan kelengahan yang berlaku ketika ini, bukan disebabkan Ahli Parlimen, sebaliknya didakwa berpunca daripada kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Sebagaimana Parlimen dua pertiga telah pun berikan pengesahan diluluskan, inilah hasrat wakil rakyat dalam negara.

"Usaha memastikan Undi18 ini mesti disegerakan oleh pihak pemerintah, kelengahan yang berlaku semua maklum bukan diakibatkan Parlimen, Ahli Parlimen, tetapi disebabkan oleh kelengahan pentabiran persiapan persediaan dari peringkat SPR dan kerajaan hari ini.

"Mereka mahukan ataupun tidak? Pemuda, pemudi yang mahu memberikan undi mereka pada PRU15 , ini perlu ditanya semula kepada pihak kerajaan," katanya ketika ditemubual Astro Awani pada Sabtu.

Mengulas lanjut jelas Mohd Fared, tidak timbul isu bahawa golongan belia tidak matang dan tidak bersedia untuk mengundi seperti dimomokkan oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya percaya tidak boleh dibangkit semula isu golongan belia belum bersedia, belia belum matang, sebaliknya saya percaya kelengahan diakibatkan mana-mana pentadbiran kerajaan dari segi struktur mahupun komuniti.

"Itulah sebenarnya merencatkan hasrat seluruh rakyat Malaysia melihat suara orang muda ingin didengar khasnya PRU15," katanya lagi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dalam satu kenyataan mempersoalkan tindakan kerajaan menggantung Parlimen ketika ini.

Ujarnya, empat undang-undang perlu dipinda sebelum Undi18 dilaksanakan dalam PRU-15. Pindaan itu melibatkan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Election Offences Act 1954), Elections (Conduct of Elections) Regulation 1981.

Serta Elections (Registration of Electors) Regulation 2002 dan semua Perlembagaan negeri-negeri untuk merendahkan umur kelayakan menjadi calon Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa kerajaan menerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil beberapa langkah segera bagi pelaksanaan Undi18.

Ia termasuk melaksanakan umur kelayakan pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119, Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada 2019.