KUALA NERANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan bahawa parti itu masih belum dapat mengenalpasti secara mendalam kecenderungan dan sikap terhadap sokongan daripada pengundi berumur 18 tahun terhadap UMNO dalam menghadapi Pilihanraya Negeri (PRN) Johor, Mac depan.

Bagaimanapun menurutnya, pelbagai pelan dan usaha telah dilakukan bagi menarik sokongan daripada kumpulan usia terbabit yang juga merupakan pengundi kali pertama.



Beliau turut melihat, situasi sama turut dihadapi parti-parti lain dalam berhadapan dengan cabaran dalam memikat hati pengundi muda ini.




"Sebenarnya bercakap mengenai undi umur 18 ini adalah sesuatu yang di luar daripada jangkaan (kebanyakan) parti politik di Malaysia, bukan sahaja UMNO, semua parti politik sedang melakukan pelbagai usaha dalam dekati pengundi 18 tahun, macam-macam usaha (yang dilakukan).

"Itu parti (masing-masing) yang ada akan berusaha, cumanya semua masih tak berapa tahu macam mana sikap mereka kepada parti politik terhadap mengundi, ini pertama kali, (kita) tidak tahu lagi macam mana 'pattern' dia, dia nak sokong siapa? dia tak sokong siapa? dia nak bagi undi dekat siapa? dan macam mana dia nak ambil benda (sebagai satu data yang tepat)?

"Saya ingat lepas pilihan raya ini kita tahu (sikap pengundi 18 tahun terhadap pilihan raya yang diadakan), (PRN Johor sebenarnya) dia bukan medan ujian Undi18, sebenarnya dia adalah pilihan raya biasa yang mana budak-budak (muda) ini (akan) datang mengundi, di kalangan anak muda (semuanya? belum kita ketahui mereka punya sikap," katanya.

Mahdzir berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Taman Desa Pudina, PPK Kubang Kenyeng, Kuala Nerang pada Ahad.

Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa pendaftaran Undi18 secara automatik akan dilaksanakan bermula pada 1 Januari 2022.

Susulan itu, kira-kira empat juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun kini layak mengundi sekiranya pilihan raya diadakan pada tahun 2022.