Skip to main content

Malaysia

Universiti bukan kilang graduan, pembentukan modal insan jadi keutamaan

Abdul Rahman berkata maklum balas industri juga penting untuk menilai keupayaan graduan menyelesaikan masalah, berkomunikasi, bekerja dalam pasukan dan menyesuaikan diri dengan perubahan. - Gambar fail/Facebook Zambry Abd. Kadir
Abdul Rahman berkata maklum balas industri juga penting untuk menilai keupayaan graduan menyelesaikan masalah, berkomunikasi, bekerja dalam pasukan dan menyesuaikan diri dengan perubahan. - Gambar fail/Facebook Zambry Abd. Kadir
Advertisement

KOTA BHARU: Kejayaan sesebuah universiti tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah graduan yang dilahirkan setiap tahun tetapi sejauh mana institusi itu mampu membentuk insan berilmu, berfikiran kritis, berintegriti dan bersedia menghadapi realiti kehidupan.

Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar, memiliki segulung ijazah bukan lagi jaminan seseorang mampu bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin kompleks, khususnya apabila perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan perubahan keperluan industri menuntut kemahiran yang lebih luas daripada kelayakan akademik semata-mata.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed berkata kadar kebolehpasaran graduan masih penting tetapi kejayaan universiti tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan sama ada graduan mendapat pekerjaan atau tidak. 

Advertisement

"Pendekatan pembangunan bakat perlu beralih daripada sekadar graduate employability kepada graduate value, iaitu melahirkan graduan yang mempunyai nilai, kompetensi dan kemampuan lebih tinggi untuk memenuhi keperluan industri.

"Graduan bukan sahaja perlu memperoleh pekerjaan tetapi pekerjaan yang sepadan dengan kompetensi mereka, dengan laluan kerjaya dan ganjaran yang lebih baik," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Advertisement

Beliau berkata maklum balas industri juga penting untuk menilai keupayaan graduan menyelesaikan masalah, berkomunikasi, bekerja dalam pasukan dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

"Nilai graduan turut terlihat pada keupayaan mereka mencipta peluang pekerjaan, membangunkan perniagaan dan menghasilkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada industri serta masyarakat. 

"Pada peringkat universiti pula, kita boleh menilai sejauh mana penyelidikan dimanfaatkan dan program universiti membawa impak kepada komuniti, maka ukuran kejayaan yang lebih menyeluruh perlu melihat nilai dan sumbangan graduan sepanjang perjalanan kerjaya mereka dan manfaat kepada masyarakat," katanya.

Senada dengan pandangan itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Dr Ahmad Hata Rasit pula berkata pembangunan graduan yang mampu mencipta peluang pekerjaan memerlukan ekosistem keusahawanan dan inovasi yang menghubungkan pendidikan, penyelidikan, industri, pembiayaan dan pasaran.

"Universiti perlu memberikan ruang kepada pelajar untuk membangunkan idea, menguji penyelesaian dan membina jaringan dengan industri serta komuniti sejak dalam pengajian.

"Saya melihat pendekatan Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 sebagai satu perkembangan penting dalam memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara," katanya.

Beliau berkata pihak universiti perlu sentiasa menilai keberkesanan pendekatan pendidikan, memahami perubahan keperluan graduan dan masyarakat, serta bersedia membuat penyesuaian berdasarkan bukti dan perkembangan semasa. 

"Bagi saya, kejayaan universiti perlu dinilai melalui kemajuan graduannya, keberkesanan ekosistem yang dibangunkan serta keupayaan institusi untuk terus memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat," katanya.

Bagi Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Profesor Datuk Dr Fadzli Adam pula berkata projek penyelesaian masalah dan maklum balas penyelia industri serta rakan komuniti boleh membantu menilai cara mahasiswa menganalisis maklumat, menjana idea, membuat keputusan dan menunjukkan integriti, etika profesional, disiplin, daya tahan serta tanggungjawab sosial.

"Kita boleh menilai kesepadanan pekerjaan dengan bidang dan kelayakan graduan serta melihat perkembangan pendapatan mereka. 

"Kajian susulan selepas lima dan 10 tahun pula boleh menjejaki kemajuan kerjaya, pembelajaran sepanjang hayat, peranan kepimpinan dalam organisasi, kesukarelawanan dan sumbangan alumni kepada pembangunan komuniti," katanya.

Beliau berkata industri dan agensi kerajaan boleh menyediakan latihan, mentor dan akses kepada pembiayaan, manakala pihak universiti pula boleh membantu melalui pengkomersialan hasil penyelidikan.

Justeru, isu lambakan graduan yang masih belum memperoleh pekerjaan selepas menamatkan pengajian bukan lagi sekadar persoalan kadar pengangguran, sebaliknya mencerminkan cabaran lebih besar dalam memastikan sistem pendidikan mampu melahirkan tenaga kerja yang benar-benar memenuhi keperluan industri.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement