Universiti tempatan sentiasa memantau kegiatan penuntutnya bagi memastikan tidak terpengaruh dengan anasir tidak sihat termasuk usaha merekrut mereka menyertai kumpulan militan di negara bergolak.

Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Dr Rais Yatim berkata pengurusan dan kakitangan bahagian keselamatan universiti itu menyemak latar belakang penuntut agar tidak mudah terpengaruh dakwaan 'jihad' kumpulan berkenaan.

Beliau mencadangkan inisiatif itu turut dilakukan institusi pengajian tinggi awam dan swasta sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi kumpulan militan itu, yang semakin agresif memujuk golongan muda menerusi laman sosial Facebook.

"Universiti tidak boleh berdiam diri, dibimbangi menjadi sesuatu yang tidak diduga kelak. Ini cabaran keselamatan yang besar kerana hal berkaitan idealisme mudah diresapi di universiti," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bernama dalam laporan eksklusifnya semalam, melaporkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengenai usaha kumpulan militan merekrut menerusi Facebook.

Kumpulan itu yang memujuk dengan dakwaan 'berjihad' menyasarkan usia antara 15 dan 30 tahun, termasuk daripada golongan pelajar dan penuntut universiti yang bermasalah dalam pengajian atau keluarga.

Rais juga menegaskan sehingga kini, tiada penuntut UIAM yang didapati terlibat atau cenderung untuk melibatkan diri dengan kumpulan itu.

"Jika ada penuntut yang terlibat, secara automatiknya beliau akan disingkirkan kerana pihak universiti tidak akan bertolak ansur dalam hal berkaitan keselamatan," katanya.

Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata universiti itu juga memantau perkembangan berkaitan kumpulan terbabit dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa pada bila-bila masa diperlukan.

Sahol Hamid juga percaya hanya segelintir kecil sahaja penuntut terpengaruh dengan pujukan 'jihad' itu manakala majoritinya pula matang dan dapat membezakan perkara yang baik dan buruk.

"Penuntut dinasihatkan tidak terpesong dengan fenomena ini. Tumpukan sepenuh masa kepada pelajaran kerana ada banyak lagi cara boleh dilakukan untuk membantu Islam setelah berjaya," katanya.

Pandangan sama diutarakan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Datuk Prof Emeritus Dr Ibrahim Komoo, yang turut melahirkan kehairanan bagaimana sesetengah pelajar peringkat universiti boleh terlibat dalam kegiatan itu.

"Tak munasabah (untuk penuntut terlibat) melainkan jika kumpulan ini memang begitu bagus dalam memujuk dan menghasut mereka," katanya dan menambah sukar untuk membendungnya jika diri penuntut sendiri 'kurang kekuatan dalaman'.

Ibrahim menambah penuntut UMT tidak terjebak dalam kumpulan seperti itu, memandangkan pihaknya mengamalkan sistem pemilihan yang ketat semasa pengambilan, termasuk pemilihan 100 pelajar untuk mengisi tempat khas.

Tempat khas itu dikhusus kepada mereka daripada keluarga miskin yang mempunyai keputusan layak ke universiti khususnya anak kelahiran Terengganu bagi membantu mereka mengubah ekonomi keluarga, tambah Ibrahim.

"Pemiihan teliti dilakukan supaya hanya mereka yang berpotensi dan mempunyai sikap positif diterima masuk, selain penuntut yang mengisi tempat khas telah menjalani pemeriksaan latar belakang," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Datuk Prof Dr Raduan Che Ros berkata universiti itu juga memantau pergerakan penuntut, terutamanya mereka yang dilihat mudah terpengaruh.

"Langkah ini hanya sebagai tindakan berjaga-jaga kerana di luar negara juga melaporkan terdapat banyak pelajar universiti yang menyertai kumpulan sebegini," katanya yang membaca berita penglibatan penuntut universiti semasa berada di luar negara.

Terdapat tiga kumpulan militan yang disertai rakyat Malaysia di Syria iaitu Negara Islam (IS), Jabhat Al Nusra dan Ajnad Al Sham, dan lazimnya mereka menggunakan ayat-ayat al-Quran dan 'jihad' semasa 'mengumpan' golongan sasaran.

Sebanyak 22 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan, manakala 23 individu lagi ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan militan.