Upacara akad nikah bagi sepasang pengantin terpaksa ditangguhkan selama tiga jam kerana pengantin lelaki tersangkut di rumahnya yang dinaiki air sejak awal pagi tadi.

Ini menyebabkan pengantin lelaki dari Kampung Peroh, Ajil tidak dapat pergi ke rumah pengantin perempuan di Santong, Paka.

Ibu pengantin lelaki Noraini Hasan, 60, berkata anaknya Mohd Mahadir Hasanuddin, 30, sepatutnya dijadualkan dinikahkan pada pukul 11 pagi.

"Tapi kawasan rumah kami dinaiki air awal pagi tadi. Jadi kami sekeluarga terpaksa tangguhkan majlis sehingga pukul 1 tengah hari sebab keluarga kami tidak dapat bertolak lebih awal.

"Hujan lebat sejak petang semalam dan kami tak jangka akan berlaku banjir. Pada awal pagi sungai di kawasan rumah kami mula melimpah dan kawasan sekitar mula dinaiki air.

"Kami agak kelam kabut bila kereta sudah tak boleh keluar sebab keluarga semua masih berada di rumah. Tapi mujurlah anak saya sudah keluar awal dengan turut membawa barang hantaran, kemudian kami menyusul dengan mengharung air dan naik bot untuk ke jalan besar," katanya kepada Bernama.

Noraini berkata tidak sampai dua jam, air mula melimpah dan jalan keluar dari rumahnya dinaiki air sehingga paras pinggang.

-- BERNAMA