KUCHING: Satu kluster baharu diisytiharkan di Mukah, Sarawak melibatkan kluster komuniti susulan upacara pengebumian.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataanya berkata Kluster Ulu Sebakong dikesan melibatkan sebuah panjang di Ulu Sebakong.

Kluster yang berpunca dari upacara pengebumian yang berlangsung pada 19 hingga 21 Mei lalu di rumah panjang tersebut.

Sejumlah 147 individu telah disaring dan 50 kes daripadanya dikesan positif termasuk kes indeks.

Manakala 90 kes didapati negatif dan tujuh kes lagi masih menunggu keputusan makmal.

Kesemua kes positif COVID-19 ini telah dirujuk dan dimasukkan ke Hospital Sibu dan PKRC di Daerah Mukah bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Sementara itu, Sarawak mencatatkan 600 kes baharu COVID-19 yang mana 321 atau 53.50 peratus daripada jumlah kes dikesan di Daerah Kuching, Sibu dan Bintulu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 51,171.

Manakala empat kes kematian baharu melibatkan jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian di Sarawak meningkat kepada 322 orang.