KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya semua rakyat tidak terleka dan berpuas hati dengan kejayaan program vaksinasi negara.

Titah Seri Paduka Baginda, usaha perlu diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah kerajaan terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera.

“Kerajaan hendaklah terus berusaha untuk menurunkan kes jangkitan harian COVID-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera. Menyedari hakikat tersebut, strategi “whole-of-society effort” perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan.

“Beta mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memperkasa “Agenda Nasional Malaysia Sihat” dalam mendidik keluarga malaysia untuk hidup bersama virus ini.

“Menerusi pendekatan ini, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario COVID-19 sebagai endemik yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” titah Baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang membuka tirainya pada Isnin.

Titah Baginda lagi, rakyat perlu sedar bahaya COVID-19 khususnya varian baharu dan juga kemungkinan munculnya pelbagai varian lain di masa hadapan.

“Justeru, rakyat masih lagi perlu untuk sentiasa menjaga kesihatan diri, mengambil langkah berjaga-jaga dan kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pada sebilang masa.

“Lebih utama rakyat hendaklah menentukan diri mereka divaksinasi. Kerajaan juga hendaklah memperkemaskan dasar berhubung kemasukan dan pemberian visa kepada warga asing agar penularan varian baru dapat dikawal.

“Pada masa yang sama; kawalan sempadan negara perlu sebilang masa diketatkan bagi membendung kemasukan pendatang asing tanpa izin,” titah Baginda.

Sidang Parlimen yang dimulakan dengan titah Al-Sultan Abdullah pada Isnin adalah yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, sidang Dewan Rakyat hari ini akan tertumpu kepada Titah Diraja Al-Sultan Abdullah.

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, persidangan kali ini akan berlangsung selama 17 hari sehingga 12 Okt.

Sementara itu, Mesyuarat Dewan Negara yang dirasmikan serentak dengan Dewan Rakyat hari ini akan berlangsung mulai 4 hingga 26 Okt.





Ikuti semua kandungan ini di laman mikro Sisi TV Parlimen serta di semua platform media sosial Astro AWANI sepanjang sidang Parlimen ini berlangsung.