SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menghargai komitmen Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan penerbangan bagi meringankan kos sara hidup pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata usaha bersepadu itu membawa makna besar khususnya kepada mahasiswa Sabah yang menuntut di perantauan.
Advertisement
"KPDN amat menghargai komitmen tinggi Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Pengangkutan melalui pelaksanaan Graduan Rindu Sabah Subsidi Tiket Penerbangan (GRS-SUBFLY), Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) dan FlySiswa.
"Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelbagai jenis bantuan yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam meringankan beban sara hidup rakyat," ujarnya ketika sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa dan Mahasiswi IPT Sabah di Semenanjung Malaysia, di sini, pada Ahad.
Jelasnya lagi, usaha tersebut mencerminkan pendekatan 'whole-of-government' bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian, khususnya pelajar yang berdepan kos perjalanan tinggi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Armizan hadir mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam majlis anjuran Kumpulan Yayasan Sabah yang menghimpunkan lebih 1,200 mahasiswa Sabah daripada 31 IPT di Semenanjung Malaysia.
"Tahun lalu, seramai 22,649 pelajar menerima manfaat dengan jumlah peruntukan RM6.79 juta. Manakala seramai 19,505 pelajar telah menerima manfaat program GRS-SUBFLY pada tahun sama," jelasnya.
Dalam pada itu, bantuan FLYsiswa menyediakan baucar digital tiket penerbangan domestik untuk pelajar universiti awam, politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru.
Bermula tahun 2025, nilai baucar FLYsiswa ditingkatkan kepada RM400 berbanding RM300 sebelum ini, dengan seramai 25,289 mahasiswa Sabah menerima manfaat.