Skip to main content

Malaysia

KKR laksana 242 projek fasiliti kesihatan seluruh negara libatkan kos RM21.3 bilion - Ahmad Maslan

KUALA PILAH, 28 April -- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan menyaksikan penyerahan replika kunci Projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, sempena Majlis Penyerahan hari ini.  Penyerahan tersebut diwakili oleh Pengarah Pembinaan PPK 1 JKR, Ir Suzzana Punari (dua kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (dua kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA T
Dr Dzulkefly bersama Ahmad menyaksikan penyerahan replika kunci Projek Pembinaan Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, sempena majlis penyerahan blok tambahan HTAN, hari ini. - Gambar Bernama

KUALA PILAH: Kementerian Kerja Raya (KKR) diberi mandat melaksanakan 242 projek fasiliti kesihatan di seluruh negara dengan kos keseluruhan berjumlah RM21.3 bilion, kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata ia membabitkan 58 projek yang selesai disiapkan dengan kos RM4.88 bilion, 57 projek dalam fasa pembinaan (RM7.28 bilion), manakala dalam fasa prapembinaan (perancangan) merangkumi 91 projek (RM9.14 bilion).

Advertisement

“Projek ini diberi kepada kami sebagai kementerian pelaksana, ia melibatkan pelbagai tempoh daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) sehingga RMKe-13,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan blok tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), yang dirasmikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, di sini hari ini.

Blok tambahan berkenaan dibina atas tapak seluas 4.18 ekar dengan pemilikan tapak pada 10 Mac dan siap sepenuhnya berserta pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC), semalam (27 April).

Dalam pada itu, Ahmad berkata di bawah RMKe-9 hingga RMKe-13 bagi Negeri Sembilan pula, terdapat 13 bilangan projek dengan kos RM 1.39 billion dilaksanakan membabitkan lima projek dalam perancangan dengan kos RM234 juta, tujuh projek bagi fasa pembinaan (RM1.1 bilion) dan satu projek siap  (RM32 juta).

Dalam pada itu, beliau berkata meskipun blok tambahan HTAN itu berada di bawah kawalan Kementerian Kesihatan, pihak kontraktor masih perlu meneruskan tanggungjawab sepanjang Tempoh Tanggungan Kecacatan mengikut kontrak iaitu selama 24 bulan daripada tarikh penyiapan projek.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kontraktor supaya melaksanakan kerja penyelenggaraan pencegahan mengikut jadual dan bertindak dengan cepat dan responsif dalam menangani sebarang aduan dan memperbaiki senarai kecacatan sepanjang tempoh tanggungan kecacatan berlangsung.

Beliau turut berharap supaya projek berkenaan dapat memberi sumbangan dan manfaat besar kepada kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

Must Watch Video