Skip to main content

Malaysia

Usaha politikkan FWCMS boleh jejas kemajuan pengurusan pekerja asing - MAMBA

Pengerusi Persatuan Peniaga Mikro Malaysia (Mamba), Tan Peng Beng, meluahkan kebimbangan terhadap kerangka e-Invois semasa yang dikenakan ke atas pemilik perniagaan mikro berniaga melalui platform e-dagang._Sinar Harian
Peng Beng menegaskan FWCMS telah berjaya beroperasi merentasi lima pentadbiran kerajaan yang berbeza, satu rekod yang menurut beliau membuktikan kekuatan sistem tersebut serta ketegasan proses pelaksanaan dan pemantauannya. - Gambar Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Tindakan mempolitikkan Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) berisiko menjejaskan kemajuan bermakna yang telah dicapai dalam memperkukuh tadbir urus, kecekapan dan ketelusan pengurusan pengambilan pekerja asing di Malaysia.

Pengerusi Persatuan Peniaga Mikro Malaysia (MAMBA), Tan Peng Beng berkata, merujuk kepada kenyataan terkini Bestinet Sdn Bhd, pelaksanaan FWCMS serta usaha pendigitalan yang lebih menyeluruh telah berjaya menangani kelemahan sistemik yang sekian lama membelenggu ekosistem pengambilan pekerja asing.

Advertisement

“Peralihan daripada proses manual yang berpecah-pecah kepada platform digital berpusat telah menyelesaikan banyak ketidakcekapan dan kebocoran yang sebelum ini membuka ruang kepada penyalahgunaan, kelewatan dan ketidaktelusan,” katanya.

Sebelum ini, Bestinet dalam kenyataannya menegaskan bahawa FWCMS yang dibangunkan syarikat itu berjaya memecahkan kartel serta menutup ruang eksploitasi dalam pengurusan pekerja asing di negara ini.

Syarikat yang diasaskan oleh Aminul Islam Abdul Nor itu turut memaklumkan bahawa kritikan terhadap FWCMS ketika ini tidak mencerminkan perbahasan dasar yang dibuat secara objektif, sebaliknya didakwa bermotifkan kepentingan politik.

Mengulas lanjut, Peng Beng berkata, dari sudut peranannya dalam MAMBA yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap pekerja migran dalam pelbagai sektor perkhidmatan, daripada makanan dan minuman hinggalah kepada perkhidmatan kawalan keselamatan swasta, peniaga merasai manfaat secara langsung melalui penambahbaikan tempoh pemprosesan, ketelusan dan kebolehpercayaan sistem secara keseluruhan.

“Bagi kebanyakan majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), keupayaan untuk berurusan melalui sistem yang lebih tersusun dan bertanggungjawab amat penting dalam memastikan kelangsungan operasi perniagaan,” tambahnya.

Peng Beng turut menegaskan bahawa FWCMS telah berjaya beroperasi merentasi lima pentadbiran kerajaan yang berbeza, satu rekod yang menurut beliau membuktikan kekuatan sistem tersebut serta ketegasan proses pelaksanaan dan pemantauannya.

“Sangat sedikit sistem yang mampu menunjukkan kesinambungan dan kerelevanan merentasi pelbagai pentadbiran kerajaan. Perkara ini sahaja sudah cukup membuktikan ketahanan sistem dan nilai institusinya,” katanya.

Must Watch Video