PUTRAJAYA: Penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam hampir dimuktamadkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perkongsian terbaharu di laman media sosialnya, beliau berkata, perkara itu telah telah diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024, yang dipengerusikannya di Putrajaya pada Jumaat.

Anwar berkata, kerajaan komited untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA, di sebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia.

Katanya lagi, hasil perbincangan berhubung penstrukturan tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang.


“Kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab ini mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah.

“Insya-Allah, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan saya umumkan pada perhimpunan Hari Pekerja nanti,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau berharap agar usaha tersebut menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.