Universiti Sains Malaysia (USM) menafikan dakwaan bahawa pihaknya menyediakan makanan tidak berkualiti kepada pelajar yang tinggal di kampus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penafian itu dikeluarkan menerusi kenyataan Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) pada Rabu.

J&T Express Malaysia, dalam kenyataan sama, turut menafikan dakwaan bahawa pihaknya berlaku tidak adil kepada kakitangannya.

“Kami menafikan dakwaan mengatakan pihak kami memotong komisyen serta menetapkan jumlah minimum bayaran komisyen berdasarkan jumlah penghantaran bungkusan,” katanya.

Sebaliknya, kenyataan itu juga menjelaskan bahawa kajian semula kadar bayaran komisyen adalah bagi menjaga kebajikan dan menjamin kakitangannya kekal menerima faedah perkhidmatan seperti elaun, komisyen dan bonus selain gaji asas.

Selain itu, pihak Lepapa Hypermarket di daerah Serian, Sarawak menafikan dakwaan sesetengah pihak yang melarang pelanggan membeli barang di pasaraya tersebut disebabkan kehadiran pesakit positif COVID-19 di kawasan pasaraya itu.

Pihaknya, bagaimanapun, menegaskan bahawa sentiasa mengambil langkah pencegahan COVID-19 untuk melindungi keselamatan pengguna.

Sementara itu, kenyataan itu turut menyebut, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menafikan dakwaan terdapat seorang individu positif COVID-19 di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru.