GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) dan SpaceIn Sdn Bhd, sebuah syarikat spin-off USM yang terlibat dalam pembuatan satelit kecil dan perkhidmatan Internet benda (IoT) melakar sejarah dengan pelancaran satelit piko pertama Malaysia, SpaceANT-D pada Ahad.

USM dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, pelancaran berkenaan menggunakan roket Falcon 9 milik Space X dari Vandenberg Space Force Base, California pada 2.47 pagi waktu tempatan.

"SpaceANT-D akan dilepaskan daripada 'deployer' Alba Orbital dalam masa tujuh ke 10 hari lagi dan kemudiannya isyarat pertama satelit akan dihantar ke stesen bumi. SpaceANT-D berukuran 5x5x5 sentimeter dan berat kurang daripada 250 gram itu akan mendemonstrasikan misi penstoran dan penghantaran data untuk aplikasi IoT.

"Dinamakan 'Space Advance Network Technology' (SpaceANT), ia akan menerima data daripada sensor di bumi dan kemudiannya data dihantar semula ke stesen bumi. Dari stesen bumi, data akan dihantar ke 'cloud' untuk memudahkan pengambilan data oleh pengguna," menurut kenyataan itu.

Menurut USM, misi berkenaan merupakan hasil usaha bersama antara universiti itu, SpaceIn dan Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia (MARTS) dan menandakan pencapaian penting dalam usaha negara untuk mencapai Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030.

Kenyataan itu memaklumkan pelancaran satelit berkenaan juga menunjukkan komitmen USM dan SpaceIn untuk membangunkan bakat tempatan, menggalakkan inovasi dan memajukan industri angkasa di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SpaceIn, Dr Norilmi Amilia Ismail dalam kenyataan sama berkata, pihaknya gembira dengan pelancaran itu dan SpaceIn bercita-cita untuk memimpin aktiviti penjelajahan angkasa di Malaysia.

"Kami percaya dengan pengurangan kos melalui penggunaan satelit kecil akan memberi lebih banyak peluang kepada semua untuk menggunakan teknologi angkasa bagi menyelesaikan pelbagai masalah industri dan kehidupan.

"Antara industri tumpuan SpaceIn untuk penggunaan satelit SpaceANT ini ialah industri pertanian, perhutanan serta minyak dan gas," katanya.

SpaceIn merupakan satu daripada pemenang program 'accelerator' SUPERB yang ditawarkan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), sebuah agensi tindakan afirmatif bumiputera yang strategik yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Geran yang dimenangi telah digunakan untuk membiayai pembangunan SpaceANT-D dan SpaceIn juga menerima dana daripada Cradle untuk pembangunan pusat data satelit di USM. - BERNAMA