Penceramah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias tidak menyangka langsung mengalami masalah jantung kerana beliau sentiasa mengamalkan cara hidup sihat seperti menjaga pemakanan dan bersenam.

Tambahan pula, katanya, beliau telah menjalani pemeriksaan kesihatan yang terperinci tahun lalu, termasuk ujian stress dan keputusannya menunjukkan beliau tiada masalah jantung.

Bagaimanapun, beliau mengakui nasihat doktor yang merawatnya bahawa ia mungkin disebabkan bebanan kerja sepanjang sepuluh tahun membangunkan pusat pendidikan Al-Barakah.

Beliau memberitahu, selain mengamalkan pemakanan yang sihat, beliau juga suka mendaki bukit, lebih suka naik tangga berbanding lift dan tidak pernah berasa penat.

BACA: Ustaz Kazim dikejar ke hospital selepas mengadu sakit dada

“Bila jadi jantung, saya rasa terkejut, satu benda yang sangat mengejutkan saya sebab makan minum saya sangat jaga, bersenam, mendaki bukit, main badminton adalah saya punya hobi, sebab itu saya tidak sangka saya kena serangan jantung.

“Jadi doktor kata sebab bebanan kerja, proses kerja stress terlalu tinggi, itu memang saya akui,” katanya pada sidang media di Pusat Pendidikan Al–Barakah di sini pada Sabtu.

Sidang media itu adalah yang pertama selepas mengalami serang jantung semasa berceramah di Kelantan kira-kira tiga minggu lalu.

Pada majlis itu, Ustaz Kazim yang ditemani abangnya, Datuk Kapt (B) Najmuddin Elias turut menerima sumbangan RM500,000 daripada kerajaan negeri kepada pusat pendidikan itu yang disampaikan Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Besar, Datuk Azhar Ahmad.
Jadi doktor kata sebab bebanan kerja, proses kerja stress terlalu tinggi, itu memang saya akui


Beliau turut menerima kunjungan rasmi pertama hampir 200 pelawat daripada Johor, Kedah dan Pulau Pinang di samping kunjungan penduduk sekitar Perak.

Penceramah terkenal itu berkata, buat masa ini, tahap kesihatannya memuaskan dan selepas rawatan susulan pada Khamis lalu, doktor mengesahkan semuanya berjalan baik.

Bagaimanapun, kata beliau, cuma otot bahagian jantung yang terluka akibat serangan jantung masih belum pulih sepenuhnya disebabkan penyakit kencing manis yang dihidapinya.

“Apa yang doktor buat sekarang ialah mengawal kadar gula dalam darah saya supaya turun kepada tahap bacaan lima, khas untuk mempercepatkan penyembuhan otot jantung. Jadi kalau saya punya tahap diabetic turun, maka proses penyembuhan mungkin jadi menjadi cepat,” ujarnya.

Ustaz Kazim berkata, kesan daripada itu, pergerakan beliau terbatas, tidak boleh bergerak laju, tidak boleh bergerak pantas, bercakap tidak boleh laju serta lancar dan tidak boleh menonton kebanyakan rancangan televisyen seperti perlawanan bola sepak dan berita.

“Memang keinginan untuk mengajar untuk berceramah sentiasa meluap-luap, saya pun dah bosan duduk rumah, saya tak boleh tengok bola, bila tengok bola, jadi berdebar, tengok berita pun saya jadi berdebar-debar, jadi saya sekarang banyak tengok National Geographic, tengok cerita haiwan.

“Jadi saya tak boleh tengok orang ramai, tak boleh tengok benda yang fighting, macam semalam saya cuba nak tengok Kedah lawan Kelantan, jadi saya tak boleh tengok," katanya.

Beliau sebelum ini telah dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama enam minggu.


Ustaz Kazim Elias diminta berehat enam minggu