KUALA KANGSAR: Seorang ustaz dan tiga orang warden sebuah pusat pemulihan dadah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Rabu atas tuduhan membunuh seorang penghuni pusat itu, minggu lalu.

Kesemua mereka mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, Nasri Wafi Jamaludin, 25, Noor Ashraf Ikhmal Jaafar, 22, Ahmad Anat Fairuz Anak, 27, dan Muhammad Luqmanulhakim Abdul Aziz, 20, secara bersama mencapai niat melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Muhamad Shahrul Samion, 25.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pusat Pemulihan Darul Islah, Padang Asam Padang Rengas dalam daerah Kuala Kangsar antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.45 malam, 17 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.


Kematian Penghuni | Ustaz, tiga warden direman tujuh hari hingga Jumaat


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Tan Chak Seng.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana ia melibatkan kes bunuh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 12 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.