KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul tergempar bagi membincangkan bencana banjir yang berpunca daripada perubahan iklim.

Usul tersebut dikemukakan oleh Wong Shu Qi (PH-Kluang) di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan akan dibincangkan pada pukul 1 tengah hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Noor memaklumkan, Yang Dipertua Datuk Johari Abdul telah menerima pemberitahuan usul tersebut pada Jumaat lalu.

Selepas diteliti, Ramli berkata, Johari berpandangan usul tersebut memenuhi tiga syarat, iaitu perkara tertentu, bagi kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan. 

Ia kemudian dipersetujui untuk dibincangkan melalui undian suara, selepas dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Sebelum itu, Wong ketika mencadangkan usul tersebut berkata, Dewan Rakyat perlu menggesa kerajaan untuk mengambil langkah proaktif bagi melindungi nyawa dan harta rakyat yang terancam akibat perubahan iklim.

Jelas beliau, banjir di Johor yang melanda 10 daerah dan menyebabkan kerosakan kepada beberapa pekan disifatkan sebagai lebih serius berbanding banjir pada 2006 dan 2007 yang menjejaskan negeri itu.

"Kerajaan perlu menambah prosedur operasi standard pelepasan air empangan untuk mengatasi cuaca yang melampau, misalnya dengan melepaskan air empangan sebelum paras air sungai meningkat ke aras berbahaya.

"Kerajaan perlu bersikap lebih telus dalam perancangan pelepasan air empangan supaya rakyat yang berada di sekitar kawasan berpeluang untuk mengambil tindakan segera untuk mengelakkan kerugian harta atau lebih buruk lagi kehilangan nyawa," katanya.

Dalam pada itu, Wong turut mahu kerajaan bersiap siaga dengan memastikan bekalan barangan asas bagi pusat pemindahan sementara adalah sentiasa mencukupi sepanjang tahun bagi persediaan menghadapi bencana banjir.