Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid yakin usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan berlaku.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, keyakinan itu berasaskan kepada wujudnya sokongan akuan bersumpah (SD) kepada Perdana Menteri (PM) yang mencukupi.

Katanya, tindakan membuat usul undi tidak percaya terhadap PM di Dewan Rakyat juga adalah tidak kena pada masanya di saat negara sedang berhempas pulas dalam berdepan cabaran COVID-19.

"Jadi, saya rasa dalam keadaan kita sakit, dalam keadaan COVID-19 ini, dalam keadaan susah ini, kita ketepikan politik. Itu yang sepatutnya. Kita utamakan yang utama dulu, iaitu keselamatan, kesihatan.

"Yang utama, perut kena kenyang. Jadi, dalam keadaan serba salah ini, adakah kita hendak berpolitik juga? Saya rasa ini bukan norma baharu. Ini benda yang tak patut berlaku," katanya.

Bercakap kepada media selepas melakukan tinjauan di kilang Pertima di kawasan perindustrian Chendering, Rosol berkata, rakyat juga sudah matang untuk menilai fenomena politik yang melanda negara.

BACA: Usul undi tidak percaya? Fahami maksudnya dari sudut perlembagaan

BACA: Usul undi tidak percaya tidak kena pada masanya - MPT Bersatu

Sementara itu, beliau juga menangkis dakwaan wujudnya unsur jual beli undi Ahli Parlimen ketika ini.

"Setakat ini, tidak ada (jual beli undi Ahli Parlimen). Mana ada jual beli, nak melobi undi, nak jual wakil rakyat, dan sebagainya. Tidak berlaku.

"Saya tukar parti pun, saya tidak dibeli. Jangan kata Datuk Rosol lompat (parti) kerana dia dibeli. Tidak ada. Dan kita ada asas, ada sebab untuk berbuat demikian.

"Jadi, kalau ada orang dikatakan mengkritik ahli politik, dikatakan hendak jual maruah dia, atau nak dibeli, itu bukan benda yang berlaku," katanya.

BACA: Shafie Apdal sahkan surat usul percaya ke atas Tun M

Rosol bersama lima lagi Ahli Parlimen UMNO meninggalkan parti itu pada Disember 2018. Rosol, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ajil kemudiannya memutuskan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dewan Rakyat sebelum ini menerima usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin untuk dibawa pada Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen ke-14 yang akan bersidang pada 18 Mei ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan usul diterima di bawah Perkara 27 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.