KUALA LUMPUR: Perkembangan sains mikrobiom kini meneroka pendekatan baharu menerusi konsep Antiinfektif Pintar yang menumpukan kepada kawalan mikroorganisma berbahaya tanpa menjejaskan mikroorganisma berfaedah.
Pendekatan itu dibincangkan dalam Seminar Saintifik Antarabangsa Pertama: “Ke Arah Piawaian Kebersihan Baharu - Daripada Penghapusan Menyeluruh kepada Antiinfektif Pintar” anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang menghimpunkan pakar dari enam negara, baru-baru ini.
Pengarah Pusat Inovasi Agroteknologi bagi Biopemprosesan Termaju (ICA) UTM Profesor Dr Hesham Ali El Enshasy berkata pendekatan itu bukan bertujuan menggantikan kaedah antimikrob sedia ada, sebaliknya meneroka keupayaan sains untuk beralih daripada sekadar mengutamakan keberkesanan kepada pendekatan yang lebih selektif.
“Jika kajian terus menyokong hala tuju ini, ia boleh membantu membentuk pemikiran kita mengenai kebersihan generasi seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, pendekatan yang dibawa bukan sahaja menilai sejauh mana mikroorganisma berbahaya dapat dikawal dengan berkesan, tetapi juga memberikan perhatian kepada pemeliharaan mikroorganisma berfaedah.
Perbincangan turut meneliti sama ada kaedah kebersihan dan antiinfektif pada masa hadapan boleh menyasarkan mikroorganisma berbahaya tanpa menjejaskan mikroorganisma yang berfaedah, selain memastikan ia kekal berkesan dan selamat.
Sementara itu, Ketua Kampus UTM Pagoh Profesor Dr Ida Idayu Muhamad berkata UTM menyedari kepentingan menghimpunkan penyelidik, pakar klinikal dan pihak berkepentingan industri bagi menggalakkan pertukaran ilmu saintifik.
“Seminar ini menyediakan platform untuk kerjasama antarabangsa dan perbincangan berasaskan bukti mengenai bidang inovasi kebersihan dan penjagaan kesihatan yang sedang berkembang,” katanya.
Menurut UTM, pakar dari Malaysia, Finland, Afrika Selatan, Mesir, Amerika Syarikat dan Indonesia membincangkan isu itu daripada pelbagai sudut, termasuk kuman yang semakin sukar dirawat, kawalan jangkitan, akses kepada penjagaan kesihatan, sains mikrobiom dan penggunaan sumber semula jadi untuk melawan jangkitan.
Penyelidik daripada UTM, Universiti Malaya dan Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) turut membentangkan penyelidikan terkini menggunakan ekstrak terpiawai bakau bagi meneliti keupayaannya mengawal mikroorganisma berbahaya serta memelihara bakteria berfaedah.
Bagaimanapun, para penyelidik menegaskan bahawa penemuan pada peringkat makmal masih memerlukan penilaian keselamatan, pengesahan melalui ujian lanjut dan kajian klinikal sebelum boleh dipertimbangkan untuk aplikasi penjagaan kesihatan.
Program berakhir dengan Deklarasi Saintifik Kuala Lumpur 2026 yang mencerminkan komitmen bersama saintis, pakar klinikal, pihak kerajaan dan industri untuk meneruskan penyelidikan, pengesahan bebas, kajian klinikal, dan kerjasama antarabangsa mengenai pendekatan antiinfektif yang lebih mampu menyasarkan mikroorganisma tertentu.
Seminar itu dianjurkan oleh ICA UTM dengan kerjasama World Bioeconomy Association (WBA) dan rakan teknologi, SATEERA.
-- BERNAMA