Skip to main content

Malaysia

UUK Tempat Inap Persendirian diperluas ke Tapak Warisan Dunia George Town

H'ng berkata persetujuan untuk memperluas pelaksanaan TIP ke kawasan tersebut dicapai dalam mesyuarat bersama dengan MBPP, PLAN Malaysia dan GTWHI pada 28 Sept. - Gambar fail/Bernama
H'ng berkata persetujuan untuk memperluas pelaksanaan TIP ke kawasan tersebut dicapai dalam mesyuarat bersama dengan MBPP, PLAN Malaysia dan GTWHI pada 28 Sept. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

GEORGE TOWN: Pelaksanaan Undang-Undang Kecil (UUK) Tempat Inap Persendirian (TIP) (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pulau Pinang) akan diperluas ke kawasan Tapak Warisan Dunia George Town dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang menyediakan garis panduan khusus.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H’ng Mooi Lye berkata garis panduan itu termasuk penetapan peratusan atau nisbah penginapan yang dibenarkan bagi memastikan aktiviti tersebut tidak menjejaskan fungsi kediaman serta nilai warisan kawasan terlibat.

Beliau berkata persetujuan untuk memperluas pelaksanaan TIP ke kawasan tersebut dicapai dalam mesyuarat bersama dengan MBPP, PLAN Malaysia dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) pada 28 Sept. 

Advertisement

“Draf Akhir Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tapak Warisan Dunia George Town (Penggantian) sedia ada telah menggariskan kawalan terhadap penginapan pelancongan meliputi pengemaskinian inventori hotel serta penyediaan garis panduan hotel bajet sedia ada dan hotel butik.

“Bagaimanapun, kawalan khusus bagi TIP masih belum diperincikan. Justeru MBPP dalam penyediaan garis panduan TIP termasuk penetapan peratusan atau nisbah yang dibenarkan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Advertisement

H’ng menjawab soalan tambahan Chee Yeeh Keen (PH-Bagan Jermal) yang ingin tahu sama ada MBPP bercadang memperluas UUK TIP ke Tapak Warisan Dunia George Town.

Beliau berkata draf garis panduan itu akan dimuktamadkan selepas sesi perbincangan dan penyelarasan bersama dengan jabatan serta agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan dasar perancangan serta keperluan pemuliharaan warisan. 

Sementara itu, H’ng memaklumkan hanya satu pendaftaran TIP direkodkan di Seberang Perai berdasarkan pelaksanaan garis panduan yang diperkenalkan pada 2023.

Beliau berkata sebelum UUK TIP berkuat kuasa, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai punca kuasa perundangan khusus untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha yang menjalankan aktiviti itu.

“Dengan adanya UUK ini, PBT mempunyai punca kuasa untuk menyaman operator atau tuan rumah sekiranya menerima aduan penduduk. Saya percaya dengan pengusaha TIP mula membuat permohonan pada tahun depan, kerajaan negeri dapat mengawal selia pengoperasian TIP dengan lebih tersusun,” katanya.

Pulau Pinang menjadi negeri pertama di negara ini menguatkuasakan UUK TIP (Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Pulau Pinang) 2026 bermula 1 Ogos 2026 bagi memperkukuh kawal selia dan penguatkuasaan pengoperasian tempat inap persendirian. 

Bagaimanapun, beberapa penambahbaikan masih dilaksanakan susulan maklum balas pengusaha dan pihak berkepentingan.

H'ng berkata Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 19 Okt telah meluluskan pindaan terhadap undang-undang kecil itu termasuk penambahbaikan kadar fi yang dikenakan dengan proses pewartaan pindaan itu sedang dilaksanakan dan dijangka berkuat kuasa bermula 1 Jan 2027.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement