SHAH ALAM : Jumlah pemberian vaksin AstraZeneca dijangka meningkat kepada 26,300 dos sehari menjelang 21 Jun nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtechHealth Corporation Sdn Bhd, Dr Anas Alam Faizli berkata pertambahan beberapa Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPV AZ) di Pulau Pinang, Johor, Kuching dan Miri dijangka bakal menyumbang kepada peningkatan tersebut.

Selain itu katanya penambahan dos di beberapa PPV sedia ada juga menyumbang kepada kenaikan jumlah penerima vaksin.

“Bermula 7 Jun, kapasiti PPV sedia ada akan ditingkatkan. Di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), akan ditingkatkan kepada 9,000 dos sehari, Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan ditingkatkan kepada 2,000 dos sehari.

“Empat PPV baru akan dibuka di Johor, Pulau Pinang, Kuching dan Miri masing-masing 3,000 dos sehari dan di Miri sebanyak 400 dos sehari. Jumlah penambahan kapasiti di PPV sedia ada dan PPV di WTCKL pada 21 jun akan di tingkatkan kepada 10,000 sehari.

“Pada 21 Jun jumlah pemberian vaksin di PPV AZ akan berjumlah 26,300 dos sehari,” katanya kepada Astro AWANI ketika melawat PPV AZ di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam pada Isnin.

Vaksin AstraZeneca | Hari pertama operasi PPVAZ di IDCC Shah Alam

Sementara itu, tinjauan ke PPV AZ di IDCC Shah Alam pada Isnin mendapati proses pemberian vaksin di sana berjalan lancar dan tidak kelihatan orang ramai terpaksa beratur panjang di dalam dan luar bangunan.

Prosedur dilalui penerima juga dilihat lebih mudah dan teratur, semuanya ditempatkan dalam satu dewan besar di tingkat tujuh bangunan tersebut.

Petugas juga dilihat sangat membantu dan setiap masa bersedia membantu penerima vaksin ke tempat yang ditetapkan.

Semua penerima harus melalui proses biasa iaitu saringan suhu dan MySejahtera sebelum mengisi borang dan kemudia menunggu di ruangan disediakan sementara nama dipanggil.

Kemudian, mereka akan ke tempat konsultasi sebelum menerima vaksin dan duduk di lokasi lain untuk pemantauan selama 15 atau 30 minit, bergantung kepada penilaian petugas.

Setakat jam 5.00 petang tadi, hampir 2,000 orang sudah menerima vaksin di PPV yang berkapasiti untuk 3,000 penerima vaksin setiap hari ini.