KUALA LUMPUR: Negara dijangka akan menerima sejumlah 16 juta dos vaksin COVID-19 untuk tempoh dua bulan akan datang.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan pertambahan bekalan vaksin ini, sasaran kadar vaksinasi harian akan mencecah 150,000 dan angka ini dijangka akan terus meningkat.

“Untuk tempoh dua bulan akan datang, kita akan menerima sekitar 16 juta dos vaksin COVID-19. Dengan pertambahan bekalan vaksin ini, kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian akan mencecah 150,000 pada bulan ini dan angka ini akan terus meningkat.

“Usaha ini tidak dapat dijayakan tanpa perancangan rapi kerajaan dan pengorbanan petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang terlibat.

“Daripada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), pemvaksin ataupun 'vaccinators', doktor, jururawat, sehinggalah anggota PDRM, ATM, RELA, APM dan para sukarelawan, syabas dan terima kasih atas dedikasi dan kerja keras saudara-saudari bagi memastikan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara kita ini berjaya dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan khas berhubung perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kerajaan komited dan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan teratur.

“Saya akui, masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan saya memberi komitmen bahawa kerajaan akan sentiasa menambahbaik program ini dari semasa ke semasa.

“Sebagai kerajaan yang prihatin, kita sentiasa mendengar keluhan dan maklum balas rakyat dan akan sentiasa meningkatkan keupayaan dari segi perancangan, kapasiti dan tenaga kerja bagi mencapai objektif utama sasaran kita iaitu imuniti berkelompok,” jelasnya.