PUTRAJAYA:Syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer telah membuat permohonan pendaftaran bersyarat dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM), pada 15 Dis lepas bagi penggunaan vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya kini sedang membuat penilaian bagi vaksin itu dari segi kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk itu untuk digunakan di Malaysia berdasarkan dokumen yang telah ditunjukkan.

"Dijangka koresponden dan proses libat urus syarikat akan dimulakan pada akhir bulan ini dan NPRA telah pun mengenal pasti 11 pakar perubatan dalam bidang berkaitan untuk melihat dokumen berkenaan yang telah diserahkan kepada KKM," katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, pada Isnin. 

Beliau berkata proses pernilaian itu akan mengambil masa 90 hingga 120 hari dengan memberi keutamaan kepada keselamatan dan keberkesanan vaksin itu.

Sementara itu ketika ditanya mengenai sumbangan 500,000 dos vaksin COVID-19 daripada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada Malaysia bagi tujuan ujian klinikal fasa ketiga, Dr Noor Hisham berkata tiada dokumen berkenaan vaksin itu dihantar kepada NPRA.

Beliau berkata bagi membolehkan vaksin itu digunakan di dalam negara, ia perlu melepasi proses sama seperti vaksin Pfizer.

"Pada masa ini tiada ujian klinikal fasa ketiga vaksin itu telah diterbitkan. Kami menanti artikel dan dokumen untuk dihantar sebagaimana dilakukan Pfizer.

"Vaksin itu kemungkinan datang dari China. Oleh kerana itu kami menunggu kesemua dokumen sebelum kami boleh mendedahkannya.

"Sekarang ini ia hanya cakap-cakap dan belum dapat dipastikan lagi. Tiada apa yang telah dihantar kepada NPRA," katanya lagi.

Dilaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat ke Abu Dhabi, UAE, untuk lima hari lawatan khas mulai 18 Dis dengan agenda utama lawatan baginda membincangkan hasrat Kerajaan UAE untuk mendermakan vaksin kepada Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata KKM telah mengenal pasti dua kluster melibatkan petugas-petugas kesihatan dj Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Beliau berkata Kluster Yayasan melibatkan 60 petugas kesihatan manakala seramai 10 petugas kesihatan dikenal pasti mendapat jangkitan berpunca daripada Kluster Batu Sembilan.

"Kluster Yayasan melibatkan pesakit hemodialisis dan jangkitan bermula dari situ, dari satu petugas kepada petugas yang lain manakala satu kluster (Kluster Batu Sembilan), jangkitan berlaku dalam komuniti yang berlaku di unit sajian, tetapi sekarang keadaan terkawal.

Apabila ada jangkitan, mereka yang bergejala sepatutnya tak datang ke hospital tetapi ada yang telah dijangkiti, ada yang bergejala masih datang ke hospital dan ada yang tak pakai pelitup muka, contohnya, jadi jangkitan berlaku di hospital," katanya.

Beliau berkata petugas kesihatan sentiasa diingatkan agar mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan termasuk tatacara pemakaian kelengkapan pelindung diri (PPE).

-- BERNAMA