KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pemberian 'booster dose’ (dos penggalak) kepada kumpulan pertama penerima vaksin COVID-19 di negeri itu.

Penasihatnya, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, perkara itu akan diketengahkan dalam pertemuan bersama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar hujung minggu ini, di sini.

“Khairy akan datang hujung minggu ini. Kita akan bincang dengan beliau bila kita akan mula memberikan suntikan dos booster kepada individu yang sudah menerima dua dos vaksin sejak enam bulan lalu.

“Ini bermakna kumpulan sasar pertama adalah petugas barisan hadapan kerana mereka memerlukan dos booster,” katanya ketika ditemui Astro AWANI semasa melawat Program Vaksinasi Remaja SMK Batu Kawa di Pusat Pemberian Vaksin Majma Mall, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, selain petugas barisan hadapan, katanya golongan warga emas antara sasaran kedua untuk diberi suntikan dos booster berkenaan.

Kata Dr Sim, ia selepas mengambil kira kajian risiko serta faktor komobiditi yang dialami kumpulan tersebut atas nasihat Kumpulan Penasihat Vaksin COVID-19 (SCOVAG).

“Pengerusi SCOVAG Profesor Datu Dr Andrew Kiyu Dawie telah menasihatkan agar warga emas menjadi kumpulan kedua untuk menerima suntikan dos booster kerana mereka mempunyai komobid.

“Ini didorong oleh kes kematian akibat COVID-19 banyak melibatkan golongan warga emas,” jelasnya lagi.

Bercakap mengenai perbezaan dos ketiga dan dos booster, Dr Sim berkata, dua perkara itu harus difahami dengan teliti dari aspek pengambilannya.

“Ramai orang bertanya adakah kita perlu mengambil dos ketiga? Terdapat perbezaan antara dos ketiga dan dos booster dari sudut pandang perubatan.

“Dos ketiga adalah untuk individu yang telah menerima dua dos lengkap tetapi masih tiada antibodi atau imuniti dalam badan.

“Manakala dos booster, untuk individu yang sudah ada imuniti tetapi tidak cukup kuat, ia merupakan fenomena biasa apabila antibodi berkurangan, sebab itu dos itu diperlukan bagi meningkatkan jumlah antibodi sedia ada,” katanya.

Sebelum ini Khairy dalam kenyataannya berkata KKM sedang melihat kemungkinan suntikan ketiga atau ‘booster shot’ vaksin khusus untuk menangani peningkatan jangkitan COVID-19 di Sarawak.

Malah beliau telah meminta jawatankuasa teknikal yang menasihati pemilihan vaksin, yang akan bermesyuarat minggu hadapan, untuk memberi cadangan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).