KUALA LUMPUR: Usaha membendung pandemik dan program vaksinasi di bawah Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang diterajui bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) diteruskan seperti yang dirancang dan tidak terganggu dengan krisis politik yang melanda negara. 

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh ketua setiausaha kedua-dua kementerian, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir di sini, pada Rabu.

Menurut kenyataan itu, Program Imunisasi COVID-19 (PICK) berada di landasan tepat dalam usaha negara untuk mencapai mencapai herd immunity menjelang Oktober ini.

Setakat 16 Ogos lalu, 47.2 peratus daripada populasi dewasa Malaysia lengkap menerima dua dos sementara 73 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama.

"Lebih 28 juta dos suntikan diberikan di Malaysia. Momentum kadar pemberian vaksinasi negara juga terus kekal konsisten di
mana pada semalam (Selasa) terus melepasi 500,000 suntikan iaitu sebanyak 501,776.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 325,902 suntikan adalah untuk dos kedua, manakala 175,874 suntikan adalah untuk dos pertama," ujar kenyatan itu.

Tambah kenyataan itu, KKM terus melaksanakan langkah-langkah strategik yang telah dirancang bagi mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan dan rawatan kesihatan awam di seluruh negara ketika
berhadapan pandemik COVID-19 ini.

"Di Lembah Klang, Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) meneruskan fokus kepada usaha logistik, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), pemantauan kendiri di rumah dan memastikan sistem sokongan sosial bagi petugas barisan hadapan di Lembah Klang terus berfungsi dengan baik," ujarnya.

Tambah kenyataan bersama itu lagi, setakat ini KKM melaksanakan perolehan pelbagai jenis vaksin COVID-19 antaranya Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac serta Cansino.

Menurutnya, sehingga 16 Ogos 2021, sejumlah 33.9 juta dos dibekalkan untuk tujuan pemvaksinan.

"Dalam hal ini, perolehan dan sumbangan vaksin COVID-19, dapat membantu kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok dalam kalangan penduduk Malaysia.

"Daripada 19,740 kes baharu yang dilaporkan pada 16 Ogos lalu, hanya 1.5 peratus kes berada pada kategori tiga hingga lima iaitu mereka yang
memerlukan rawatan rapi kerana jangkitan paru-paru, memerlukan oksigen dan ventilator," jelasnya.