KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menunggu data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat untuk mengetahui tahap keberkesanan vaksin sedia ada terhadap varian baharu COVID-19.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, wujud kebimbangan mengenai dua varian terbabit iaitu South African B.1.351, dan UK B.1.17 yang kini sudah berada dalam komuniti, dan kebanyakan kes tidak menunjukkan gejala ketara.

Namun, Ahli Parlimen Tenggara itu berkata, setakat ini vaksin sedia ada seperti Pfizer BioNTech dan Sinovac masih mampu memberi perlindungan kepada rakyat di negara ini.

“Kita telah maklum bahawa varian ini telah ada dalam komuniti, terutama sekali varian daripada Afrika Selatan dengan  17 kes telah pun dikesan, dan dua kes dari UK telah dikesan.

“Kebimbangan kita ialah varian ini mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih luas, dan yang paling kita bimbang, ialah varian ini menyembabkan asymptomatic cases  (kes tidak begejala) yang berada dalam komuniti,” katanya kepada sidang media hari ini.

BACA: KKM kesan dua lagi varian UK B.1.1.7

COVID-19 | KKM tunggu data WHO dan CDC tentang varian baharu

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Memorandum Persefahaman antara Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dan Pfizer (Malaysia) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, terdapat keperluan untuk melihat semula kemungkinan melaksanakan tempoh kuarantin 14 hari seperti yang diguna pakai sebelum ini.

Setakat ini, beliau berkata, kementerian sehingga kini masih melaksanakan tempoh kuarantin 10 hari dengan mereka ditempatkan di pusat kuarantin digazetkan kerajaan.

[SIDANG MEDIA] Program Kolaborasi antara BSMM dan Pfizer Malaysia Sdn Bhd

Semalam bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan perlu melihat kembali tempoh kuarantin yang dilaksanakan terhadap mereka yang memasuki negara ini.

“Adakah kemasukan varian-varian baharu sehingga sudah menular dalam komuniti tempatan ini akibat langkah kerajaan PN turunkan tempoh kuarantin mandatori bagi mereka yang pulang dari luar negara dari 14 hari ke 7 hingga 10 hari (3 hari bagi Menteri) pada ketika negara-negara lain sedang naikkan tempoh kuarantin.

“Masa itu, saya telah beberapa kali membantah langkah kurangkan tempoh kuarantin pada ketika seluruh dunia bimbang dengan mutasi baru sebab saya berpendapat ianya tidak masuk akal,” katanya lagi.