KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) percaya Varian Delta yang dilaporkan di Pasir Puteh sudah tersebar ke beberapa daerah seperti Bachok dan Tanah Merah hingga menyebabkan peningkatan jangkitan COVID-19 di negeri berkenaan.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata dengan jumlah jangkitan COVID-19 yang menunjukkan trend peningkatan buat masa ini, kemungkinan varian tersebut sudah berada dalam komuniti.

"Buat masa ini kita mengesan satu kes melibatkan Varian Delta pada 23 Julai lepas dan beberapa lagi sampel masih dalam analisis.

"Proses mengenal pasti varian ini bukannya mengambil masa cepat dan langkah terbaik adalah dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak jangkitan," katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), di sini hari ini.

Setakat semalam, sebanyak enam kluster baharu direkodkan di Kelantan, menjadikan jumlah keseluruhan kluster adalah 123.

"Hampir setiap hari kita merekodkan kluster baharu dan semalam satu kes kluster baharu direkodkan melibatkan seorang kanak-kan lelaki berusia lapan tahun di Kampung Tok Junuh dekat Mahligai, Bachok.

"Daripada kluster itu 13 kes positif direkodkan," katanya.

-- BERNAMA