MALAYSIA
VEP dikuat kuasa 1 Julai, kenderaan asing tanpa permit akan disaman - Loke

Loke bercakap pada sidang media khas berhubung Penguatkuasaan Road Charge – Vehicle Entry Permit (RC-VEP), di sini hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan akan menguatkuasakan sepenuhnya Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) di pintu sempadan darat Malaysia–Singapura bermula 1 Julai 2025.
Ringkasan AI
- Penguatkuasaan penuh VEP: Bermula 1 Julai 2025, Malaysia akan mewajibkan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) di sempadan darat Malaysia-Singapura, dengan pemilik kenderaan persendirian dikenakan saman RM300 jika tiada VEP sah.
- Kelonggaran untuk kenderaan syarikat: Kenderaan syarikat yang telah pradaftar akan diberi notis peringatan, manakala yang tidak berdaftar langsung akan dikenakan saman kepada pemandu.
- Bayaran saman tanpa tunai: Saman perlu dibayar secara digital melalui Kaunter Pejabat JPJ, JPJ Mobile atau platform dalam talian seperti myEG.
“Namun, sekiranya kenderaan itu telah pradaftar, kita berikan sedikit kelonggaran dengan hanya mengeluarkan notis peringatan, dan mereka dibenarkan keluar dari Malaysia,” katanya dalam sidang media khas berhubung Penguatkuasaan Road Charge – Vehicle Entry Permit (RC-VEP), di sini hari ini.
Jelas beliau, kelonggaran terhadap kategori kenderaan syarikat diberikan memandangkan proses pendaftarannya lebih kompleks serta memerlukan pelbagai dokumen syarikat yang belum lengkap sepenuhnya.
Dalam pada itu, Loke berkata, bayaran saman perlu dibuat secara tanpa tunai melalui Kaunter Pejabat JPJ, Kaunter Bergerak JPJ Mobile atau secara dalam talian menerusi platform myEG.
Untuk rekod, penguatkuasaan VEP telah dilaksanakan secara berperingkat sejak 1 Oktober 2024.
“Masa yang diberikan sebenarnya sudah cukup panjang. Seperti yang kami maklumkan sebelum ini, kita mulakan dengan pendekatan advokasi sejak 1 Oktober lalu.
“Ketika pengumuman dibuat, memang berlaku lonjakan permohonan RFID. Ada yang menyambut baik, ada juga yang mengeluh.
“Fasa pertama hanya bertujuan memberi kesedaran mengenai penguatkuasaan, tetapi tanpa sebarang tindakan saman – hanya notis dikeluarkan.
"Sehingga kini, belum ada mana-mana pemilik kenderaan dari Singapura yang disaman kerana tiada VEP,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami