KEPALA BATAS: Sebanyak 35 peratus daripada 41,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen, tidak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) kerana gagal mengemas kini data peribadi, kata Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus.

Justeru, beliau menyarankan mereka supaya segera mengisi maklumat terkini dalam sistem bersepadu Veteran Integrated Benefit System (VIBES) 2.0 bagi membolehkan pembayaran dibuat.

Menurutnya, setakat ini 29,000 veteran ATM tidak berpencen berusia 60 tahun ke atas menerima bantuan RM300 yang diberikan secara bulanan sejak September tahun lepas.

"Data-data tersebut perlu dikemas kini dan penting untuk pastikan akaun bank diberikan aktif kerana ramai dalam kalangan veteran yang akaun mereka tidak aktif menyebabkan wang yang cuba dibayar, dipulangkan semula kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 200 ahli Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen (PVTTB) Pulau Pinang serta balu, di sini, pada Isnin.

Zambery turut meminta veteran yang mempunyai masalah berhubung bantuan tersebut supaya memaklumkan kepada persatuan dan bukannya mengadu dengan memuat naik hantaran di laman sosial.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan semua wakil persatuan veteran bagi membincangkan berkaitan perlembagaan dan hal-hal lain berhubung cadangan mewujudkan persatuan induk.

"Dalam pertemuan dengan semua wakil persatuan itu juga kita akan bincang apa perubahan kepada persatuan apabila adanya persatuan induk itu nanti.

"Apabila semuanya diharmonikan, saya percaya dalam hujung tahun ini atau awal tahun depan kita ada satu persatuan baharu yang dikenali sebagai Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM)," katanya.

Menurutnya, cadangan mewujudkan persatuan induk itu sebelum ini telah diluluskan pada peringkat Majlis Veteran Kebangsaan. - BERNAMA