KUALA NERUS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu telah membuka satu kertas siasatan berhubung kematian 11 ekor lembu di Kampung Sungai Lekar, Kuala Nerus.

Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah Kuala Nerus, Norehan Ali berkata berikutan itu pihaknya telah mengambil sampel bangkai dan dihantar ke makmal untuk dianalisa.

Norehan menjangkakan hasil keputusan itu akan diperoleh dalam tempoh seminggu.

"Sampel kita dah ambil semalam yang melibatkan sampel paru-paru, jantung, limpa, apa yang melibatkan organ dalaman. Itu untuk (mengetahui) sama ada ada penyakit ataupun mati keracunan.

"Kita akan tengok keputusannya nanti. Kalau ikut yang kita semak sekarang ini memang tidak ada rekod lagi untuk permit itu. Kemungkinan lembu diseludup juga. Cuma tengok balik takut ada yang kita dapat kesan. Nantilah untuk permit itu," katanya ketika dihubungi.

BACA: 11 bangkai lembu sudah berulat ditemukan di Kuala Nerus

Siasatan | Veterinar Terengganu siasat kematian 11 ekor lembu

Norehan juga tidak menolak kemungkinan haiwan tersebut mengalami keracunan atau jangkitan penyakit.

Jelasnya kesemua bangkai tersebut telah dilupuskan di lokasi yang sama dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) cawangan Kuala Nerus.

Terdahulu, bangkai 11 ekor lembu dalam keadaan berulat ditemukan di sebuah kawasan terbiar di Kampung Sungai Lekar di sini, dipercayai dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.