Video lucah: Azmin nafi terlibat, dakwa ada usaha jatuhkan beliau

Astro Awani
Jun 12, 2019 09:45 MYT
AZMIN: Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu. - Gambar fail
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan tuduhan yang mengaitkan beliau dalam video lucah yang tular sejak Selasa.
Dalam satu kenyataan media pada Rabu, Azmin menegaskan tuduhan yang dibuat oleh individu bernama Haziq Abdullah Abdul Aziz merupakan komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian beliau.
Beliau juga menyifatkan tuduhan tersebut bertujuan menjatuhkan dan memusnahkan karier politiknya.
"Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas," katanya.
BACA: Video lucah: Azmin nafi terlibat, dakwa ada usaha jatuhkan beliau
Azmin yang juga timbalan presiden PKR menegaskan beliau mengutuk sekeras-kerasnya politik kotor yang disifatkan tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu.
BACA: Video lucah: Ahli UMNO diseru tidak ambil kesempatan - Mohamad Hasan
Beliau juga memaklumkan telah mengarahkan pasukan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat terhadapnya.
BACA: 'Sayalah lelaki dalam video itu ...'
"Saya akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat ini.
"Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.
BACA: 'Saya tidak tahu menahu tentang video 'intim' tular mirip Menteri - Tun M
"Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini," katanya lagi.
Sejak Selasa, satu video lucah yang mengaitkan seorang menteri yang didakwa mirip Azmin tular di media sosial.
Pada awal pagi Rabu, Haziq mengakui beliau merupakan individu dalam video tersebut dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Azmin yang didakwa terlibat rasuah.
#Azmin Ali #Haziq Abdullah Abdul Aziz #Kementerian Hal Ehwal Ekonomi #lucah #Malaysia Baharu #nafi #PKR #Polis Diraja Malaysia #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #video