IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang dikesan menaiki kereta jenis Proton Saga FLX berwarna perang yang memandu secara melulu dan berbahaya petang semalam, di Kilometer 17 Jalan Beruas-Parit-Ipoh, di Perak Tengah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sebelum itu telah mengesan satu rakaman video yang tular di media sosial berkaitan pemanduan melulu suspek sekitar jam 9.35 malam, pada Rabu.

Katanya, suspek memandu secara berbahaya dengan kesalahan memotong barisan (potong Q) dan garisan berkembar, sekali gus boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

"Hasil siasatan yang dilakukan, pihak polis berjaya mengesan suspek yang beralamat di Pusing, Batu Gajah.

"Sepasukan pihak polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak telah pergi ke alamat tersebut dan menemui seorang lelaki yang mengaku memandu kenderaan terbabit semalam (4 Mei) jam kira-kira 3.40 petang.

"Tangkapan telah dilakukan terhadap suspek serta rampasan kenderaan yang digunakan. Suspek telah dimaklumkan sebab tangkapan dilakukan, serta hak-hak orang yang ditangkap seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mior Faridalathrash berkata, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bagi tindakan selanjutnya.

Ujarnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Polis Perak melalui JSPT PDRM Perak akan terus mempertingkatkan operasi bagi membanteras sepenuhnya isu samseng jalanan khasnya di negeri ini," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan.




Seorang lelaki ditahan setelah disyaki memandu secara melulu hingga boleh membahayakan pengguna lain sehingga tular menerusi rakaman sebuah video dalam satu kejadian di Jalan Beruas-Parit-Ipoh semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berumur 23 tahun yang memandu Proton Saga FLX berwarna coklat itu ditahan di sebuah rumah di Pusing, Batu Gajah selepas polis berjaya mengesannya pada hari yang sama.

"Lelaki itu mengaku memandu kenderaan tersebut kira-kira 3.40 petang sebelum tular di media sosial menerusi sebuah video.

"Kenderaan tersebut dirampas dan lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan.

Video berdurasi kira-kira seminit itu antara lain menunjukkan suspek memotong barisan dan garisan berkembar di kawasan Pekan Parit hingga boleh membahayakan keselamatan diri sendiri dan pengguna lain.

-- BERNAMA