Virus Nipah: Saringan pengembara berisiko langkah proaktif cegah penularan

Dzulkefly berkata sistem kesihatan negara berada pada tahap bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berkaitan ancaman penyakit berjangkit itu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan saringan kesihatan bersasar ke atas pengembara dari negara berisiko tinggi di semua pintu masuk antarabangsa adalah langkah pencegahan bagi mengelak penularan virus Nipah di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Ringkasan AI
- Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menegaskan pentingnya pelaksanaan saringan kesihatan ke atas pengembara dari negara berisiko tinggi bagi mengelak penularan virus Nipah di Malaysia, walaupun tindakan tersebut tidak disyorkan oleh WHO.
- Beliau menekankan bahawa langkah proaktif ini penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan sistem kesihatan negara dan mendeteksi jangkitan awal dengan lebih berkesan.
- Dzulkefly juga memberi amaran tegas kepada pengusaha makanan agar mematuhi peraturan kesihatan serta menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil dengan tegas terhadap pelanggaran undang-undang yang boleh membahayakan kesihatan awam.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat kebangsaan 2026 di sini hari ini, sebagai mengulas kenyataan WHO yang tidak mengesyorkan saringan di lapangan terbang pada masa ini dan menilai risiko penularan virus dari India sebagai rendah.
Dzulkefly berkata sistem kesihatan negara berada pada tahap bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan berkaitan ancaman penyakit berjangkit itu.
"Dalam konteks kawalan penyakit berjangkit, langkah-langkah pencegahan perlu dilaksanakan atas prinsip kawalan berlapis merangkumi pengurusan berterusan, pengesanan awal, pengurusan kontak, kesiapsiagaan fasiliti kesihatan dan komunikasi risiko berkesan," katanya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas isu sebuah premis makanan di Negeri Sembilan yang didakwa mencuci lebihan makanan untuk dimasak dan dijual semula, beliau berkata KKM memberi amaran tegas kepada pengusaha agar bertanggungjawab dan tidak melakukan perkara yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
Beliau berkata kementerian tidak akan berkompromi apabila berdepan amalan yang mendedahkan orang ramai kepada risiko serius termasuk keracunan makanan dan tindakan penguakuatkuasaan akan diambil secara tegas termasuk mengeluarkan kompaun dan penalti terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.
"Saya ingin mengingatkan semua pengusaha supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan. Kita telah berkali-kali mengeluarkan peringatan sebelum ini.
"Kali ini, tindakan tegas, kukuh dan muktamad akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhinya kerana perbuatan sebegini secara langsung menjejaskan kesihatan awam dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Dzulkefly berkata kementerian sejak sekian lama menitikberatkan aspek kualiti dan keselamatan makanan melalui pelbagai inisiatif termasuk program Bersih, Sihat dan Selamat (BeSS) selain usaha penguatkuasaan berterusan.
"Walaupun pelbagai pendekatan telah dilaksanakan termasuk penguatkuasaan, masih ada segelintir pihak yang mencemarkan industri dari semasa ke semasa, sedangkan ramai pengusaha lain mematuhi peraturan dengan sangat ketat dan memandang serius soal keselamatan makanan. Ini amat mendukacitakan," katanya.
Terdahulu dilaporkan restoran di Seremban itu telah diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) selama 14 hari bermula semalam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


