PUTRAJAYA: Berarak di hadapan orang ramai pada acara bersejarah, sambutan Hari Kebangsaan 2023 menjadi satu kenangan yang tidak akan dapat dilupakan bagi petugas beberapa syarikat media yang pertama kali bergabung dalam satu kontinjen.

Bercakap kepada Bernama, penyelaras peserta dari Astro, Wan Shazrun Hijaz Wan Ahmad Shabari yang menyertai acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan buat kali pertama berkata ini merupakan pengalaman berharga buat semua peserta kontinjen itu.

"Ini juga merupakan kali pertama stesen penyiaran ditampilkan dan digabungkan dalam satu kontinjen, sebelum ini kita di bawah kontinjen syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Gabungan dan kerjasama antara peserta dari rakan-rakan stesen penyiaran juga amat baik, kita ketepikan perbezaan untuk bersama menjayakan perbarisan ini sekali gus memupuk semangat perpaduan sesama kita," katanya yang merupakan Pengurus Kawal Selia dan Hal Ehwal Korporat Astro.

Seramai 120 pengamal media yang digabungkan daripada lima stesen penyiar iaitu Astro, Media Prima, Radio Televisyen Malaysia (RTM), MYTV dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) terlibat dalam kontinjen berkenaan.

Berkongsi rasa bangga, penyelaras peserta perbarisan daripada RTM, Mohd Zaflie Abd Jawad berkata gabungan pelbagai stesen penyiar dalam kontinjen berkenaan juga sebenarnya merupakan satu manifestasi kepada perpaduan.

"Ia juga membuktikan jalinan kerjasama strategik antara stesen penyiar di negara (untuk menjayakan perbarisan)," katanya

Ketua Seksyen Perancangan dan Pengurusan Acara RTM itu berkata penglibatan mereka dalam perbarisan kali ni juga adalah bagi mempamerkan kepentingan peranan agensi media sebagai ejen penyampai maklumat dan memupuk semangat penyatuan.

Acara sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang bertemakan 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' itu diadakan di Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, yang kini ditadbir Kerajaan Perpaduan.

-- BERNAMA