Skip to main content

Malaysia

Wan Ahmad Dahlan dilantik sebagai Pengerusi MRT Corp

SEREMBAN, 23 Julai -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ketika sesi dialog aspirasi perkhidmatan awam MADANI Negeri Sembilan Siri 2 2026 di Wisma Negeri hari ini._BERNAMA
MRT Corp memaklumkan pelantikan itu dibuat ketika organisasi berkenaan memasuki fasa penting dalam melaksanakan mandatnya berkaitan projek rel nasional dan pembangunan bandar. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), berkuat kuasa 13 Ogos 2026.

MRT Corp dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu dibuat ketika organisasi berkenaan memasuki fasa penting dalam melaksanakan mandatnya berkaitan projek rel nasional dan pembangunan bandar.

“MRT Corp sedang melaksanakan beberapa projek infrastruktur utama, termasuk Sistem Transit Rapid (RTS) Link antara Johor Bahru-Singapura dan Laluan LRT Mutiara Pulau Pinang, di samping terus memperkukuh keupayaannya dalam pembangunan berorientasikan transit, pembangunan hartanah bersepadu dan pertumbuhan hasil komersial,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim berkata Wan Ahmad Dahlan mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran awam, tadbir urus dan kepimpinan institusi.

“Pengalaman beliau akan memberi nilai yang besar kepada MRT Corp dalam melaksanakan projek infrastruktur utama negara serta memperkukuh peranannya dalam memajukan agenda mobiliti dan pembangunan bandar Malaysia.

“Kepakaran Wan Ahmad Dahlan dalam pengurusan institusi dan pelaksanaan dasar akan menyokong MRT Corp dalam usaha untuk terus memperkukuh keupayaan penyampaiannya serta melaksanakan mandat untuk memacu kelestarian bandar dan mobiliti rakyat,” katanya.

Wan Ahmad Dahlan memegang jawatan sebagai KPPA sejak Januari 2024.

Kerjaya Wan Ahmad Dahlan dalam perkhidmatan awam menjangkau lebih tiga dekad dengan sepanjang tempoh itu, beliau menyandang beberapa jawatan penting termasuk Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara.

Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik pada 1995 dan sejak itu berkhidmat di pelbagai kementerian serta institusi kerajaan, dengan berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran awam, tadbir urus, kepimpinan institusi dan pelaksanaan dasar.

Wan Ahmad Dahlan turut berkhidmat sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dan Razak School of Government.

Beliau menganggotai lembaga beberapa organisasi, termasuk Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement