KUCHING: Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengurniakan pingat kepada 123 penerima dalam istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak 2023 yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri, di sini.

Mendahului senarai 10 penerima anugerah Darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran "Datuk Seri" ialah Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang.

Turut hadir pada majlis itu isteri Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang.

Antara penerima PNBS lain ialah Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn; Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Seri John Sikei Tayai serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.

Sementara itu, sebanyak 12 penerima dianugerahkan Darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran "Datuk".

Antara penerima PGBK ialah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Sebanyak 11 individu menerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran "Datu" dan 21 individu dianugerahkan Darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran "Datuk".

Selain itu, pingat Johan Bintang Kenyalang dianugerahkan kepada dua penerima, Johan Perkhidmatan Cemerlang (dua), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (22), Pegawai Bintang Sarawak (17), Pegawai Bintang Kenyalang (11) dan Pingat Perkhidmatan Bakti (15).

Kesemua pingat tersebut telah dikurniakan sempena Ulang Tahun Kelahiran ke-87 bekas Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud pada Oktober lepas.

-- BERNAMA