GEORGE TOWN: Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan terhadap kes sepasang kekasih terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada malam Isnin.

Ia berikutan, mangsa wanita yang berusia 40 tahun mendakwa dia ditolak kekasihnya yang juga seorang pegawai kanan polis berusia 37 tahun.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, mangsa yang bekerja di sebuah kilang itu didakwa ditolak teman lelakinya selepas mereka bertengkar di hentian Jambatan Pulau Pinang.

"Berdasarkan keterangan awal, mangsa mendakwa dia ditolak teman lelakinya namun siasatan masih dijalankan. Dia bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Polis akan merekodkan keterangan saksi-saksi yang ternampak kejadian itu bagi membantu siasatan.

"Kita membuka kertas siasatan memgikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh namun perlu merakamkan keterangan daripada kedua-dua mangsa selain untuk memastikan sama ada benar dakwaan wanita itu dia ditolak atau sebaliknya," katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Kok Chin sebelum itu menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Timur Laut antara Asisten Komisioner Razlam Abd Hamid dan Superintenden V Saravanan yang sebelum ini memangku jawatan itu.

Razlam sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Taiping.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, lelaki itu yang bertugas di luar Kontinjen Pulau Pinang kini dirawat di hospital kerana cedera di kepala selepas kejadian pada malam Isnin itu.

"Polis akan merekodkan keterangannya dalam masa terdekat ini.

"Semakan mendapati, pegawai kanan polis tersebut mempunyai satu kes jenayah yang masih dalam siasatan melibatkan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana memukul dalam kejadian di daerah Timur Laut baru-baru ini," katanya.

Tambah beliau, polis memerlukan keterangan saksi sebelum memutuskan untuk menahan reman suspek lelaki atau sebaliknya.

Dalam kejadian pada jam 7.49 malam, Isnin, sepasang kekasih terselamat selepas kedua-dua mereka terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada malam Isnin.

Bertengkar sebelum jatuh dari Jambatan Pulau Pinang

Sebelum itu, kedua-dua mereka yang menaiki sebuah kereta dipercayai bertengkar.

Kejadian berlaku di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari pusat bandar ke Perai.

Kedua-dua mangsa menaiki sebuah kereta Honda Civic dan dikatakan telah bertengkar yang mana, pertengkaran itu berlarutan sehingga di kawasan hentian di atas jambatan.

Kedua-dua mangsa bagaimanapun diselamatkan seorang lelaki yang bertindak terjun sebelum menarik mangsa ke atas bot nelayan yang kebetulan berada di lokasi kejadian. -Sinar Harian