AMPANG: Berang isteri tidak memaklumkan untuk membawa anak mendapatkan rawatan di klinik, seorang lelaki tergamak membelasah isterinya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Tasik Tambahan di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pertengkaran antara suspek dan mangsa warga Myanmar itu berlaku kira-kira jam 2 petang ketika berada di rumah.

"Suspek dipercayai berang kerana mangsa tidak memaklumkan kepadanya kerana membawa anak mereka mendapatkan rawatan.

"Suspek kemudian bertindak agresif dengan mencekik leher dan menumbuk kepala serta badan mangsa mengakibatkan mangsa sakit di seluruh badan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, susulan kejadian tersebut, suspek yang juga warga Myanmar berumur 41 tahun diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada Jumaat.

"Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan ujian air kencing didapati negatif dadah.

"Hasil pemeriksaan oleh Pegawai Perubatan Hospital Ampang mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian pipi sebelah kiri, atas dahi, lengan tangan sebelah kiri dan bahagian leher," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek dan mangsa masing-masing merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Suspek kemudiannya dibawa ke Mahkamah Ampang bagi proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya. -- Sinar Harian