KOTA KINABALU: Seorang wanita yang tular selepas gelagatnya mengherdik anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kepayan, di sini, pada 17 Jun lalu, ditahan hari ini.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.20 pagi tadi untuk membantu bagi membantu siasatan polis berhubung insiden yang berlaku pada 1 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika ditahan, polis turut merampas pakaian yang dipakai wanita itu dalam kejadian berkenaan bersama telefon bimbit, kad pendaftaran kereta dan kunci kenderaan.

"Kita merampas pakaian itu bagi mengenal pasti ia adalah pakaian yang dipakai oleh wanita terbabit dalam kejadian yang dirakam.

"Semasa kejadian, polis telah mengeluarkan saman terhadap wanita terbabit atas kesalahan tamat tempoh cukai jalan dan insurans kenderaan.

"Bagaimanapun berlaku kekecohan sehingga wanita terbabit mengeluarkan kenyataan ugutan," katanya.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya turut mengambil keterangan daripada seorang pegawai dan tujuh anggota serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.