KOTA KINABALU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memaklumkan wanita yang mengalami kecederaan parah akibat kemalangan ketika pulang daripada aktiviti pendakian di Bukit Chanang, dekat Keningau layak menerima faedah di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.
Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan Brissty Vidalyn Felicianus, 33, ialah pencarum aktif di bawah Skim LINDUNG 24 Jam, terlibat kemalangan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung pada 2 Jun ketika turun ke lokasi permulaan pendakian.
“Akibat kemalangan itu, Brissty mengalami kecederaan patah tulang bahu kanan, patah tulang kaki kanan, luka bahagian kepala sebelah kiri serta beberapa luka ringan pada anggota badan, dan difahamkan telah mendapatkan rawatan di Hospital Keningau.
“Sebagai pencarum aktif, Brissty layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan oleh pegawai perubatan,” menurut kenyataan itu.
Perkeso memaklumkan Brissty menerima sijil cuti sakit sehingga 15 Jun dan dijadualkan untuk menjalani pembedahan pemasangan besi bagi rawatan lanjut terhadap kecederaan patah tulang.
“Skuad Prihatin Perkeso telah melawatnya di rumah pada 9 Jun untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan. Perkeso akan terus memantau keadaannya dan bersedia memberi rawatan pemulihan bagi memastikan wanita itu dapat kembali bekerja,” katanya.
Perkeso memaklumkan kejadian yang menimpa petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti di Keningau itu membuktikan risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan tidak terhad ketika sedang bekerja sahaja.
Perkeso turut memaklumkan telah menerima beberapa kes kemalangan bukan bencana kerja melibatkan pelbagai situasi dalam tempoh hanya beberapa hari selepas pelaksanaan LINDUNG 24 Jam, sekali gus mengukuhkan keperluan perlindungan yang lebih menyeluruh.
“Ini membuktikan perlindungan sosial tidak wajar terhad kepada waktu bekerja sahaja. Justeru, perlindungan keselamatan sosial menyeluruh amat penting bagi mengelakkan pekerja berhadapan kesukaran kewangan ketika ditimpa musibah,” menurut kenyataan itu.
LINDUNG 24 Jam diperkenalkan bagi memastikan pekerja di Malaysia mempunyai perlindungan berterusan jika berlaku kejadian tidak diduga yang boleh menjejaskan pendapatan, kesihatan dan kesejahteraan keluarga.
Menurut Perkeso, pencarum yang mengalami kemalangan di luar waktu kerja masih mempunyai jaringan keselamatan sosial yang membantu mereka meneruskan kehidupan dan proses pemulihan dengan lebih teratur menerusi inisiatif terbaharu itu.
-- BERNAMA