ALOR SETAR: Wanita yang maut ditikam sebanyak 13 kali oleh suaminya di sebuah rumah di Taman Tiram, Kulim, malam tadi, tidak pernah bercerita tentang masalah rumah tangganya.
Ibu saudara mangsa, D. Kodimalar, 42, berkata mangsa S. Sila, 39, sangat rapat dengannya dan sepanjang lima tahun mendirikan rumah tangga, dia tidak pernah mengadu mengenai sebarang perselisihan faham dengan suaminya.
“Kami sendiri tidak tahu jika mereka ada krisis kerana mereka nampak bahagia. Dia tidak pernah beritahu keluarga apa-apa.
"Kalau dia ada bercerita dari awal, sudah tentu kami boleh tampil berikan bantuan dan menyelamatkannya daripada kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.
Kodimalar berkata ahli keluarga bertindak memecah masuk ke dalam rumah berkenaan, dan menemukan mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu tidak sedarkan diri di atas katil dengan kesan tikaman pada bahagian dada hingga ke pusat.
“Selepas menikam mangsa, suspek telah menghubungi adiknya dan menyerahkan anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun beserta kunci rumah kepada adiknya sebelum berlalu pergi dengan menaiki kereta.
“Sebaik menerima maklumat daripada adik suspek, kami terus bergegas ke rumah mangsa dan tiba kira-kira 8.30 malam. Kami terpaksa memecahkan pintu rumahnya dan apabila pintu bilik dibuka, saya nampak dia dalam keadaan terbaring di atas katil dan berlumuran darah,” katanya.
Beliau berkata dia bersama ahli keluarga yang lain terus membawa mangsa ke hospital, dan ketika itu denyutan nadi masih ada.
“Doktor maklumkan walaupun nadinya masih ada ketika dibawa ke unit kecemasan, fungsi jantungnya sudah terhenti. Pihak hospital cuba memberikan bantuan pernafasan dan darah, namun dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
“Kami tunggu proses bedah siasat selesai dan selepas itu jasadnya akan dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Manis, Perai, Pulau Pinang, iaitu tempat mangsa dibesarkan sejak kecil,” katanya.
Kodimalar berkata kali terakhir bertemu mangsa pada Ogos lepas dan menyifatkan mendiang sebagai seorang yang berani dan disayangi oleh semua ahli keluarga.
Sementara itu, seorang lagi ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata dia sangat terkejut dengan kejadian itu kerana suspek seorang yang peramah dan sangat sayangkan isteri dan anaknya, selain tidak mengambil minuman keras dan merokok.
“Kami memang sedih dengan apa yang terjadi, kerana kami jaga mangsa dari dia kecil lagi, sekarang dia sudah tiada, kami akan jaga anaknya pula macam mana kami jaga dia dahulu,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kulim Superintenden Syamsul Sinring memaklumkan seorang wanita maut akibat ditikam oleh suaminya sebelum suspek yang berusia 43 tahun hadir ke Balai Polis Lunas pada 8.40 malam dan memaklumkan dia telah menikam isterinya sebanyak 13 kali di rumah mereka.
Suspek yang ditahan turut menyerahkan sebilah pisau lipat dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
-- BERNAMA