Skip to main content

Malaysia

Wanita mengaku salah ambil bahagian transaksi pemberian kawalan bayi dengan balasan RM17,300

71743102937_courtgavel.jpg
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhamad Fitri Wan Azizan. - Gambar hiasan
Advertisement

SUNGAI PETANI: Seorang wanita mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan pilihan mengambil bahagian dalam transaksi bertujuan memberikan kawalan secara tetap terhadap seorang bayi dengan balasan wang RM17,300, bulan lepas.

S. Kelsey, 24, membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Wanita itu didakwa mengambil bahagian dalam transaksi, bertujuan memberikan kawalan secara tetap terhadap bayi berkenaan yang kini berusia 12 hari, dengan balasan wang RM17,300 di sebuah hospital swasta di sini antara 7.30 pagi, 18 Ogos hingga 1.30 pagi, 21 Ogos.

Bagi kesalahan itu, Kelsey didakwa mengikut Seksyen 48(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam yang mewakili wanita itu RSN Rayer, memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi mendapatkan fakta kes dan jatuh hukum, selain memohon jumlah jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap serta perlu menyara keluarganya.

Rayer turut memohon mahkamah memberi ruang kepada anak guamnya berikutan keadaannya yang lesu selepas ditahan untuk membantu siasatan kes berkenaan, tiga hari selepas melahirkan anak bulan lepas.

Hakim Nabisha Ibrahim kemudiannya membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Hakim itu juga menetapkan 5 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhamad Fitri Wan Azizan.

Sementara itu, wanita sama turut mengaku bersalah terhadap satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, iaitu memiliki kad pengenalan milik orang lain bulan lepas.

Kelsey didapati memiliki kad pengenalan milik seorang wanita berusia 33 tahun, sedangkan dia mengetahui kad pengenalan itu adalah milik orang lain, di hospital sama pada 1.30 tengah hari, 21 Ogos.

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM3,000, atau kedua-duanya.

Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi membenarkan wanita itu diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula dan jatuh hukum.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Hazwani Md Noor.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement