Bekas model yang didakwa menanggalkan bajunya di khalayak ramai di Jalan Petaling pada April lalu, disahkan sebagai waras dan layak dibicarakan di mahkamah.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor memutuskan demikian selepas meneliti laporan kesihatan mental yang dikeluarkan Hospital Tanjung Rambutan terhadap Persana Avril Sollunda, 33.

"Semasa kejadian berlaku, beliau (tertuduh) dalam keadaan tidak waras dan tidak sedar. Bagaimanapun, buat masa ini, keadaan mental beliau adalah stabil dan beliau layak dibicarakan," katanya ketika membaca laporan kesihatan berkenaan semasa sebutan kes itu, di sini, hari ini.

Mahkamah menetapkan tiga hari bermula 11 Jan depan untuk perbicaraan kes itu.

Pada 29 Mei mahkamah memerintahkan Persana Avril dirujuk ke Hospital Tanjung Rambutan untuk pemeriksaan mental.

Persana Avril didakwa menanggalkan baju di khalayak ramai apabila gagal membayar selepas makan di sebuah kedai nasi ayam di Jalan Petaling di sini pada 23 April lepas.

Gambarnya tanpa baju dan coli menjadi viral di laman sosial.

Dia didakwa terhadap pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam mengikut Seksyen 294(A) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin manakala tertuduh diwakili Kelvin Tan.